
BALAKONG – Seramai 347 majikan telah diambil tindakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) setakat Februari lalu dengan jumlah kompaun hampir RM6 juta susulan kesalahan menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya kini turut mengambil tindakan terhadap majikan berbanding hanya menahan PATI.
"Langkah tersebut diambil kerana selagi majikan tidak dikenakan tindakan, kehadiran PATI akan terus berlaku memandangkan mereka masih mempunyai peluang pekerjaan di negara ini.
“Jika semua majikan bertanggungjawab dan tidak menggaji pekerja asing secara tidak sah, tarikan untuk warga asing datang ke negara ini akan berkurangan, kecuali mereka yang masuk dan bekerja secara sah,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Rabu.
Zakaria berkata, pada tahun lalu, seramai 1,939 majikan telah diambil tindakan dengan jumlah kompaun melebihi RM36.6 juta, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara dalam penguatkuasaan terhadap golongan itu.
"Selain kompaun, tindakan mahkamah turut menyaksikan jumlah denda melebihi RM1 juta dikenakan kepada 57 majikan bagi tahun ini, manakala denda lebih RM10 juta terhadap 454 majikan direkodkan pada tahun lalu," katanya.
Zakaria berkata, antara alasan lazim yang diberikan majikan adalah kesukaran mendapatkan pekerja tempatan serta ketiadaan kuota baharu bagi pengambilan pekerja asing.
"Bagaimanapun, alasan berkenaan tidak boleh diterima kerana undang-undang tidak memberi sebarang pengecualian.
“Majikan perlu memahami peraturan dan mendapatkan pekerja melalui saluran yang sah," tegasnya.
Mengulas lanjut, Zakaria tidak menafikan terdapat penglibatan ejen tidak berdaftar yang menawarkan pekerja asing kepada majikan.
"Namun, tanggungjawab sepenuhnya tetap terletak pada majikan kerana mereka yang membuat keputusan untuk menggaji dan berurusan dengan pihak tersebut," katanya.

