
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mengambil pendekatan memantau dari dekat berhubung perkembangan isu tarif melibatkan Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang keputusan yang dibuat secara terburu-buru dibimbangi boleh menjejaskan kepentingan perdagangan dan ekonomi negara.
“Saya hanya mengatakan, kita tunggu dulu dan lihat apa keadaan sebenarnya kerana apa pun keputusan kita, saya bimbang kalau menjejaskan kepentingan negara.
“Yang penting bukan apa yang diputuskan mereka tetapi apakah ia dapat mempertahankan kepentingan perdagangan dan ekonomi Malaysia,” katanya ketika sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai langkah kerajaan berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) susulan tindakan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar dasar tarif Presiden Donald Trump.
Ujar Anwar, meskipun Mahkamah Agung AS telah membuat keputusan, namun masih terdapat beberapa peruntukan yang boleh digunakan bagi mengenepikan perintah berkenaan.
Menurutnya, justeru kerajaan perlu melihat terlebih dahulu tindak balas Trump berhubung keputusan tersebut.
“Kalau dibangkitkan umpamanya hanya kita harus bertindak berdasarkan keputusan Mahkamah Agung AS, saya rasa terlalu awal.
“Betul keputusan Mahkamah Agung itu sudah peringkat terakhir tetapi, kalau kita lihat ulasannya, masih ada peruntukan yang digunakan yang akan mengenepikan Perintah Mahkamah Agung.
“Kalau kita lihat sistem di AS, penafsiran Mahkamah Agung itu adalah bahawa kuasa itu mengenakan tarif adalah kuasa Kongres. Jadi kita tunggu dulu, itu sahaja,” ujarnya.

