TAMPIN - Enam daripada lapan ahli Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menzahirkan rasa murka terhadap Raja Norazli Raja Nordin sekali gus memutuskan menggantung tugas beliau sebagai Setiausaha DKU yang didakwa gagal mematuhi perintah memanggil Sidang Mesyuarat Khas DKU pada Jumaat.
**media[3534769]**
Keputusan berkenaan diumumkan menerusi kenyataan media bersama oleh Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Jelebu, Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Datuk Abdul Rahim Yassin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri serta Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.
**media[3534770]**
Kenyataan media tersebut dibacakan oleh Maarof dalam sidang media di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin yang dihadiri kesemua pembesar adat melainkan Mubarak.
"Kami sangat murka dan kecewa atas kegagalan Raja Norazli mematuhi perintah dan sabda Kami selaku Pemerintah Bersama (Co-Ruler) kerajaan Negeri Sembilan merangkap ahli majoriti DKU untuk menguruskan panggilan Sidang Mesyuarat Khas DKU pada hari ini (Jumaat).
"Tindakan beliau adalah semberono, bertentangan dengan aturan adat dan sangat biadab serta tidak lagi layak menjawat jawatan Setiausaha DKU," katanya.
Jelas mereka, keputusan menggantung tugas Raja Norazli mengikut peruntukan Perkara 21 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan seterusnya melantik satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kuasa Setiausaha DKU.
Mereka turut menegaskan bahawa DKU bukan milik individu dan tiada mana-mana pihak mempunyai kuasa mutlak dalam dewan tersebut dan ia termaktub di dalam Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Selain itu, mereka turut melantik satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kuasa Setiausaha DKU dan menguruskan perjalanan Sidang Mesyuarat Khas DKU yang dijadual akan berlangsung pada 5 Jun depan.
Turut dijemput dalam mesyuarat tersebut iaitu kesemua Ahli DKU, Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara selaku jemputan dan pemerhati bebas.
Menjawab pertanyaan pemberita, Maarof berkata, jawatankuasa khas itu turut akan menjemput Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz ke Sidang Mesyuarat Khas DKU tersebut.
Beliau berkata, jemputan itu dibuat kerana kedua-duanya merupakan anggota DKU sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Pada 24 Mei lalu, enam pembesar adat tersebut telah mengemukakan notis kepada Raja Norazli supaya memanggil Sidang Khas DKU.
Menurut notis itu, majoriti ahli DKU telah bersetuju supaya sidang khas tersebut diadakan di Balai Rasmi Tunku Besar Tampin di Tampin.
Bagaimanapun pada Isnin, Raja Norazli dalam satu surat kepada kesemua pembesar adat terbabit memaklumkan pihaknya tidak dapat membuat jemputan untuk mengadakan mesyuarat tersebut ekoran saman pemula yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Seremban.



