![Image from: [VIDEO] Letupan tangki gas, Flat Pendamar ibarat ‘zon perang’](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/KEBAKARAN-TERBAKAR-1024x768.jpeg)
KLANG – Letupan kuat daripada tangki dan gas domestik di sebuah bengkel lori diibaratkan seperti zon perang selepas terdapat penghuni Flat Pendamar yang tinggal berhampiran lokasi kejadian di Taman Perindustrian Pandamaran, di sini melarikan diri dari rumah malam tadi.
Situasi itu menyebabkan sebahagian penghuni blok pangsapuri berdekatan bertempiaran keluar menyelamatkan diri ketika api marak.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads dikenali sebagai sis.nirma menerusi satu klip video yang memaparkan kejadian berkenaan, selain menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang mendatangkan trauma kepadanya.
“Kebakaran di kilang Flat Pendamar, Pelabuhan Klang, belakang flat kami. Blok yang kami duduk betul-betul berhampiran dengan tempat kejadian.
“Kami penduduk semua melarikan diri. Masa kejadian itu, kami dalam rumah dan kelam kabut sebab api marak sangat. Allah je tahu perasaan kami masa itu. Alhamdulillah semua tiada apa-apa,” katanya.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.54 malam.
Katanya, operasi disertai 36 anggota termasuk pegawai dari empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), iaitu Pelabuhan Klang, Klang Selatan, Klang Utara dan Andalas.
“Pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan struktur sebuah bengkel pembaikan kenderaan jentera berat lori berkeluasan 6,000 kaki persegi.
“Antara yang musnah ialah dua lori tiga tan bermuatan gas domestik, sebuah forklift dan dua motosikal,” katanya.
Tambahnya, kebakaran turut memusnahkan dua kepala treler, sebuah treler serta dua tangki yang belum dikenal pasti kandungannya.
“Api berjaya dikawal pada pukul 10.30 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya 35 minit kemudian,” katanya.
Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Letupan tangki gas, Flat Pendamar ibarat ‘zon perang’ appeared first on Kosmo Digital.
