[VIDEO] Lukisan kasut anak Felda raih perhatian peminat luar negara

5 Jul 2025 • 8:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

image is not available
Redzuan mencurahkan kreativitinya menerusi lukisan di atas kasut sejak hampir 10 tahun lalu.

image is not available
Redzuan menunjukkan antara hasil karyanya.

image is not available
Redzuan di hadapan bengkel dan spa kasut yang terletak di bandar Bera.

image is not available
Antara lukisan anime Naruto yang dihasilkan Redzuan. Foto Redzuan

image is not available
Antara lukisan anime yang mendapat tempahan pelanggan. Foto Redzuan

BERA - Bermula sekadar hobi sejak kecil, kreativiti Redzuan Abas, 44, dari Felda Bukit Kepayang kini menjadi sumber rezeki apabila sentuhannya melakar pelbagai watak anime popular di atas kanvas kasut mendapat perhatian peminat luar negara seperti Singapura dan United Kingdom.

Lebih membanggakan, Redzuan yang juga generasi kedua Felda, sanggup menutup perniagaan di Petaling Jaya, Selangor pada 2022 untuk pulang ke kampung demi menjaga adik dan ibunya yang uzur.

**media[3189831]**

"Ketika itu adik lelaki saya tidak sihat dan memerlukan penjagaan rapi. Saya tidak sampai hati membiarkan dan akhirnya pulang ke sini.

"Saya anggap ia bukan pengorbanan sebaliknya tanggungjawab kerana keluarga adalah segala-galanya. Saya juga bersyukur kerana isteri dan anak-anak memahami keputusan ini," katanya.

**media[3189830]**

Walaupun telah kehilangan adiknya dua tahun lalu diikuti ibunya setahun kemudian, pemilik bengkel dan spa kasut di bandar Bera ini tidak lemah semangat untuk terus berkarya.

Ujar bapa kepada dua anak ini, beliau menggunakan cat khas kalis air yang diimport bagi memastikan lukisan kekal cantik dan tahan lama meskipun dipakai setiap hari.

"Setiap tempahan lazimnya mengambil masa tiga hingga 14 hari untuk disiapkan mengikut rekaan diminta pelanggan.

"Antara permintaan popular termasuk karakter anime seperti One Piece, Demon Slayer, Dragon Ball dan Jujutsu Kaisen. Harga bergantung pada rekaan bermula RM150 hingga RM800," katanya.

**media[3189833]**

Selain melukis atas kasut, Redzuan juga menyediakan perkhidmatan mencuci, menjahit dan membaiki kasut.

Ujarnya, sentuhan seninya banyak dipengaruhi ikon dalam bidang tersebut dari Amerika Syarikat, DeJesus Custom Footwear, malah beliau pernah menerima pujian daripada ikon terbabit beberapa tahun lalu.

**media[3189832]**

“Saya hantar gambar rekaan saya, dia puji dan cakap dia sendiri belum siap kasut model itu lagi. Bangga sangat sebab saya memang minat kerja dia,” katanya.

Dalam pada itu, Redzuan tidak berasa sedih biarpun tidak lagi beroperasi di bandar besar, sebaliknya memastikan hubungan dengan pelanggan sedia ada dijaga sebaik mungkin dan berusaha meraih kepercayaan pelanggan baharu.

"Perancangan saya selepas ini untuk kembangkan lagi perniagaan dengan buka cawangan baharu di setiap negeri.

"Saya juga membuka peluang kepada mana-mana individu yang berminat mempelajari teknik melukis, sama ada secara dalam talian atau secara bersemuka," katanya lagi.