
KOTA KINABALU - Mahkamah Pilihan Raya di sini, menolak petisyen mencabar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan dengan kos, sekali gus mengekalkan kemenangan Datuk Fairuz Renddan sebagai penyandang kerusi berkenaan.
Petisyen yang difailkan bekas Speaker Dewan Rakyat yang juga calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Tan Sri Pandikar Amin yang bertanding di DUN Pintasan pada PRN lalu.
Keputusan itu dibuat selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Datuk Farisz Gohim Abdullah menerima beberapa bantahan awal yang dikemukakan oleh pihak responden terhadap petisyen tersebut.
Peguam Rizwandean M Borhan yang mewakili Fairuz memaklumkan antara bantahan diterima ialah petisyen berkenaan didapati cacat kerana gagal menyatakan dengan jelas kesalahan yang didakwa di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Selain itu, petisyen tersebut juga didapati gagal memenuhi kehendak peruntukan di bawah Seksyen 11(1)(b) serta tidak menyatakan dengan jelas keputusan pilihan raya dan bahawa Pegawai Pengurus Pilihan Raya telah mengisytiharkan responden pertama sebagai pemenang sah bagi kerusi DUN Pintasan.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan untuk menolak petisyen berkenaan dengan kos sebanyak RM10,000 dibayar kepada pihak responden.
Sebelum itu, petisyen tersebut difailkan oleh Pandikar yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada 22 Disember lalu bagi mencabar keputusan PRN untuk kerusi DUN Pintasan.
Dalam pada itu, Rizwandean turut menjelaskan bahawa Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini telah dikeluarkan daripada petisyen tersebut kerana tiada tuduhan khusus dibuat terhadap kedua-dua pihak dalam petisyen berkenaan.
Berikutan keputusan itu, petisyen tersebut hanya melibatkan pihak pempetisyen iaitu Pandikar dan Fairuz sebagai responden pertama.
Fairuz turut diwakili oleh dua lagi peguam lain iaitu Al-Hafidz Lokman dan Khalid Murshidi manakala Pandikar diwakili peguamnya, Sukumaran Vanugopal.
Dalam PRN lalu, Fairuz yang bertanding atas tiket bebas berjaya memenangi kerusi DUN Pintasan dengan undi sebanyak 4,675.
Dalam pertandingan 11 penjuru itu, beliau memperoleh majoriti undi sebanyak 1,070 sekali gus menewaskan Pandikar yang hanya mendapat sebanyak 3,605 undi.
