![Image from: [VIDEO] Mundar-mandir sebelum kebas van](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-24-at-20.31.06-1024x550.jpeg)
KUALA SELANGOR – Tindakan seorang pekerja meninggalkan van syarikat minuman berkultur tanpa mematikan enjin mengundang padah apabila kenderaan itu dilarikan lelaki di pekan Tanjong Karang, di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.40 pagi ketika pekerja berkenaan memasuki sebuah kedai serbaneka untuk mengira stok minuman.
Insiden itu turut tular di aplikasi Threads dengan suspek kelihatan mundar-mandir sebelum melarikan kenderaan itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Supritenden Mohd. Ambia Nordin berkata, siasatan mendapati pekerja berkenaan meninggalkan van di hadapan kedai serbaneka tanpa mematikan enjin.
“Pekerja itu kemudiannya memasuki premis itu bagi mengira stok minuman sebelum mendapati van tersebut hilang dipercayai telah dicuri. Usaha mengesan suspek sedang dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya malam ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Muhammad Khairul Abiddin Abd. Razak di talian 03-3289122 atau mana-mana balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Mundar-mandir sebelum kebas van appeared first on Kosmo Online.
