[VIDEO] Murid enam tahun masuk Darjah Satu tak perlu jalani ujian diagnostik - PM

LocalPolitics
27 Jan 2026 • 11:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
image is not available
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pertanyaan-pertanyaan dan jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.- Foto Bernama

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju untuk tidak melaksanakan ujian diagnostik khas kemasukan ke Darjah Satu bagi murid enam tahun untuk mengelakkan bebanan serta mempermudah pelaksanaan sistem pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, selain memberi keutamaan kepada pemantauan berterusan terhadap perkembangan murid melalui peranan guru dan ibu bapa.

“Oleh itu, ia ditiadakan supaya dipermudahkan.

"Bagaimanapun, menjadi tanggungjawab guru-guru dan ibu bapa untuk pantau kelayakan anak-anak," katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (MPQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sebelum ini Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilapor memaklumkan, ujian saringan diagnostik khas akan digunakan bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu seawal umur enam tahun mulai sesi persekolahan 2027.

Beliau berkata, hanya murid yang layak dan berjaya melepasi kriteria ditetapkan setelah menduduki ujian diagnostik itu akan dipilih untuk kemasukan berkenaan.

**media[3414459]**

Sementara itu Anwar menegaskan, pelaksanaan ujian penilaian Darjah Empat membolehkan pihak berkepentingan mempunyai tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk melakukan penambahbaikan sebelum murid melangkah ke Tingkatan Satu.

"Biasalah dalam apa juga cadangan, akan mengundang sedikita kontroversi. Buat ujian Darjah Tiga salah, Darjah Empat salah, Darjah Enam pun salah. Tak buat langsung pun salah.

"Jadi kita putuskan, buat (ujian) Darjah Empat kemudian kita lihat keberkesanannya.

"Pendidikan harus dinamik, harus ada penilaian yang berterusan dan peringkat awal, ini adalah cadangan. Saya harap masyarakat, ibu bapa beri rung kita cuba dengan sebaik mungkin," ujarnya.