Video 'pak belang' bukan di Perak

9 Nov 2023 • 11:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video kemunculan harimau belang yang sebenarnya berlaku di India pada 2020. - Foto ihsan pembaca

image is not available
Perhilitan pernah menafikan kehadiran harimau belang sama pada 2020.

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menafikan video tular kemunculan seekor harimau berlaku di Pulau Tiga dekat Kampung Gajah.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, semakan mendapati video kehadiran 'pak belang' itu sebenarnya berlaku di India pada 2020.

"Perhilitan pernah menafikan kejadian itu ekoran video ini pernah tular di Selangor, tiga tahun lalu.

"Kali ini video sama ditularkan semula sedangkan tiada kejadian seumpama itu dilaporkan," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab berkongsi video tanpa maklumat sahih hingga boleh mencetuskan kegusaran penduduk setempat.

Terdahulu, tular sebuah video bersama satu mesej suara dalam loghat Perak mendakwa seekor harimau muncul dikatakan di sebuah kawasan di Pulau Tiga, Kampung Gajah.