[VIDEO] Pegawai tadbir mengaku tidak bersalah tujuh pertuduhan pecah amanah, tipu sumbangan

LocalPolitics
23 Jun 2026 • 3:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Pegawai tadbir mengaku tidak bersalah tujuh pertuduhan pecah amanah, tipu sumbangan
Image from: [VIDEO] Pegawai tadbir mengaku tidak bersalah tujuh pertuduhan pecah amanah, tipu sumbangan
Puhnitha Devi (tengah) mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada Selasa.

AYER KEROH - Seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan menyalahgunakan wang persatuan dan menipu beberapa individu bagi mendapatkan sumbangan yang kemudiannya digunakan untuk kepentingan peribadi.

Tertuduh, Puhnitha Devi Durairaju, 43, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa dengan curangnya menyalahgunakan wang berjumlah RM56,000 milik Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Negeri Melaka yang sepatutnya digunakan bagi pelaksanaan program Hi-Tea bersama PTD dan Program Ramadan pada tahun 2022.

Bagi satu lagi pertuduhan di bawah seksyen sama, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang sumbangan Duit Raya berjumlah RM600 milik 30 petugas Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Tahun 2024 untuk kegunaan peribadi.

**media[3559952]**

Sementara itu, bagi empat pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa memperdayakan beberapa individu untuk menyerahkan wang sumbangan berjumlah RM3,900 bagi penganjuran Hari Keluarga dan Sasaran Kerja Tahunan Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) pada tahun 2024.

Bagaimanapun, program yang dimaksudkan tidak dilaksanakan dan wang sumbangan tersebut didakwa digunakan untuk kegunaan peribadi tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari, manakala tertuduh diwakili peguam Intan Nur Alia Nodzri daripada Tetuan The Chambers of Kamarul Hisham & Hasnal Rezua.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Ogos depan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved