[VIDEO] Pelaburan emas jadi tumpuan susulan penurunan harga semasa

Business & Finance
31 May 2026 • 5:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] Pelaburan emas jadi tumpuan susulan penurunan harga semasa
Image from: [VIDEO] Pelaburan emas jadi tumpuan susulan penurunan harga semasa
Yahanis menunjukkan beberapa bentuk emas pelaburan yang kini mendapat perhatian susulan penurunan harga emas semasa.

PENURUNAN harga emas semasa dilihat membuka peluang kepada lebih ramai pelabur untuk menambah pegangan logam berharga itu terutama dalam kalangan penyimpan emas yang menunggu masa sesuai untuk membeli pada harga lebih rendah.

**media[3536743]**

Usahawan pelaburan emas, Datuk Yahanis Yahya berkata, golongan pelabur berpengalaman lazimnya akan mengambil kesempatan ketika harga emas turun bagi meningkatkan simpanan mereka dalam kuantiti yang besar.

Menurutnya, terdapat penyimpan emas yang konsisten membuat simpanan bulanan melalui potongan automatik manakala pelabur yang mempunyai modal besar pula akan menunggu harga turun sebelum membuat pembelian.

"Apabila harga emas turun kepada sekitar RM610 segram berbanding RM630 sebelum ini, pelabur akan mengambil peluang membeli sehingga 100 gram atau lebih kerana perbezaan harga itu boleh menjimatkan ribuan ringgit.

"Malah ada penyimpan emas yang memiliki simpanan sehingga satu kilogram. Jika harga turun RM20 hingga RM30 segram, mereka boleh menikmati penjimatan atau keuntungan puluhan ribu ringgit," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Yahanis berkata, pergerakan harga emas perlu dilihat dalam tempoh jangka panjang kerana turun naik harga harian atau bulanan merupakan perkara biasa dalam pasaran.

Menurutnya, walaupun harga emas pernah mencecah RM764 segram pada April lalu, harga semasa yang lebih rendah tidak bermakna trend kenaikan jangka panjang telah berubah.

"Kalau lihat dalam tempoh setahun, harga emas masih menunjukkan peningkatan yang baik. Sebab itu pelaburan emas disarankan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun bagi membolehkan pelabur menikmati pulangan yang lebih berbaloi.

"Trend emas secara umumnya meningkat antara 10 hingga 20 peratus setiap tahun dan ia sesuai dijadikan instrumen simpanan menggunakan wang yang tidak diperlukan dalam tempoh terdekat," katanya.

Mengulas mengenai individu yang ingin mula melabur dalam emas, beliau berkata, pelaburan tersebut tidak seharusnya ditangguhkan kerana sejarah menunjukkan nilainya terus meningkat dalam tempoh panjang.

"Dulu harga RM300 segram pun orang kata mahal, kemudian RM400 dan RM500 pun dianggap mahal. Tetapi jika dilihat trend selama 20 tahun, harga emas terus meningkat.

"Sebab itu sesiapa yang mahu berjinak-jinak dalam pelaburan emas boleh bermula sekarang dengan memilih syarikat yang patuh syariah, mematuhi peraturan serta mempunyai rekod yang baik," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memastikan setiap pelaburan emas melibatkan pemilikan emas fizikal bagi mengelakkan risiko kerugian sekiranya berlaku masalah kepada syarikat yang menawarkan skim pelaburan tersebut.

Menurutnya, pelabur juga perlu mendapatkan ilmu yang mencukupi, menyemak latar belakang syarikat serta memastikan syarikat terbabit mempunyai rekod operasi yang kukuh sebelum membuat sebarang pelaburan.

Dalam pada itu, Yahanis berkata, pelaburan emas kini semakin mendapat perhatian masyarakat dengan tahap kesedaran mengenai kepentingan simpanan emas dilihat semakin meningkat berbanding sebelum ini.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan harga emas merosot ke paras terendah dalam tempoh dua bulan apabila tindakan ketenteraan baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran mengukuhkan nilai dolar AS serta mendorong kenaikan harga minyak, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap tekanan inflasi dan prospek kadar faedah yang lebih tinggi.

Harga emas spot susut 1.5 peratus kepada AS$4,388.76 seauns selepas mencatatkan paras terendah sejak 26 Mac.

Sementara itu, niaga hadapan emas AS bagi penghantaran Jun turun 1.4 peratus kepada AS$4,386 seauns.

Pengukuhan dolar AS ke paras tertinggi dalam tempoh seminggu turut menjadikan emas lebih mahal kepada pelabur yang menggunakan mata wang lain.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved