![Image from: [VIDEO] Pemancing luah isi hati cipta lagu Rindu di Jambatan](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-04-at-1.48.41-PM-1-1024x644.jpeg)
GEORGE TOWN – Lagu tular ’Rindu di Jambatan’ yang dijana menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) kini mencuri perhatian kaki pancing khususnya di Jambatan Pulau Pinang, setelah ‘port’ itu diwartakan sebagai Kawasan Larangan Tempat Larangan (KLTL).
Lagu yang dimuat naik menerusi akaun TikTok Fishing Fishang sejak beberapa hari lalu itu telah mendapat ratusan tanda suka, puluhan komen dan dikongsi secara meluas dalam kalangan pemancing tegar.
Menerusi kapsyen video tersebut, lagu berkenaan didedikasikan sebagai tribute kepada pemancing Jambatan Pulau Pinang yang disifatkan sebagai lokasi penuh nostalgia dan kenangan.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa sebak apabila lirik dan melodi lagu itu menggambarkan kerinduan terhadap suasana memancing di bawah jambatan, terutama selepas pihak berkuasa memperketatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti memancing di kawasan berkenaan.
“Bang dah la bang. Jangan bagi kami lagi berduka dan bersedih dengan lagu abang ini,” tulis Oxygen.
“Rindunya nak p (pergi),” balas Imahdee.
“Dah orang tak sayang, kau terima seadanya. Jambatan bukan satu,” tulis Mohd, Shahrizal.
Sementara itu, ada juga dalam kalangan pengguna media sosial menyifatkan lagu tersebut seolah-olah menjadi ‘suara hati’ kumpulan pemancing yang sudah sekian lama menjadikan lokasi itu sebagai port mengisi masa lapang bersama rakan dan keluarga.
Malah, tidak kurang juga yang memuji penggunaan teknologi AI dalam menghasilkan karya kreatif yang mampu menyentuh emosi serta menghidupkan semula memori di lokasi ikonik berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan tiga warga tempatan termasuk seorang wanita ditahan selepas dipercayai menceroboh kawasan larangan di struktur Jambatan Pulau Pinang di sini dengan melakukan aktiviti memancing ikan, semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli dilaporkan berkata, penahanan dilakukan ketika pasukannya melaksanakan rondaan rutin di sekitar perairan Pulau Pinang, kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di kawasan kaki tiang Jambatan Pulau Pinang mendapati individu berkenaan berada di kawasan yang diwartakan sebagai Kawasan Larangan Tempat Larangan tanpa kebenaran. – KOSMO! ONLINE
@fishingfishang Rindu Di Jambatan – Sebuah lagu tribute buat pemancing jambatan Pulau Pinang. #RinduDiJambatan ♬ original sound – Fishing Fishang
The post [VIDEO] Pemancing luah isi hati cipta lagu Rindu di Jambatan appeared first on Kosmo Digital.






