[VIDEO] Pemuda cedera parah, patah tangan lepas pintu kereta dibuka mengejut

LocalCars
8 Feb 2026 • 4:25 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda cedera parah selepas terjatuh daripada motosikal apabila sebuah pintu kenderaan dibuka secara mengejut di laluan bulatan Kampung Pandan, di sini, pada Jumaat lalu.

Menurut kakak mangsa, Siti Nabilah, kejadian berlaku ketika adiknya, Izzat Aiman, sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sebelum pintu belakang sebuah kereta terbuka secara tiba-tiba menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu terjatuh ke atas jalan raya.

— KL Traffic Update (@kltrafficupdate) February 7, 2026

Lebih memburukkan keadaan, mangsa turut dirempuh sebuah lagi motosikal yang gagal mengelak selepas melihat Izzat Aiman terjatuh di hadapannya.

“Adik saya terjatuh dan kemudian ditimpa pula motosikal lain yang tidak sempat membrek. Sekarang dia susah untuk bergerak kerana sakit di bahagian kepala dan belakang badan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami patah tangan selain mengadu sakit di beberapa bahagian badan, namun pihak doktor masih menunggu keputusan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) bagi mengenal pasti kecederaan dalaman lain.

Siti Nabilah berkata, pemilik kenderaan yang pintunya dibuka secara mengejut itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut, namun setakat ini masih belum bertanyakan khabar atau melawat mangsa di hospital.

“Tuan kereta memang sudah buat laporan polis, begitu juga pemilik sebuah lagi kenderaan yang terlibat iaitu Perodua Bezza. Tetapi setakat ini, tiada seorang pun yang datang melawat atau bertanya khabar adik saya,” katanya.

Terdahulu, rakaman kejadian itu tular di media sosial selepas penunggang motosikal lain yang terlibat merakam insiden berkenaan menerusi kamera topi keledar, sekali gus mencetuskan perbincangan orang ramai mengenai bahaya membuka pintu kenderaan tanpa memastikan keadaan selamat.