[VIDEO] Penganggur didenda RM7,000 lakukan amang seksual kepada murid perempuan

LocalPolitics
8 Apr 2026 • 12:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
image is not available
Ong Sheo Ming berdepan pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang murid perempuan berusia 12 tahun ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.

JOHOR BAHRU - Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu atas pertuduhan melakukan amang bukan fizikal terhadap seorang murid perempuan pada minggu lalu.

Tertuduh Ong Sheo Ming, 54 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.

Mengikut pertuduhan bapa kepada seorang anak itu, didakwa telah melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menunjukkan kemaluan kamu kepada seorang murid perempuan berusia 12 tahun bagi maksud seksual.

Perbuatan itu dilakukan di kawasan sebuah sekolah kebangsaan di Tampoi pada kira-kira jam 1.30 petang pada 1 April lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam rayuannya, Ong yang tidak diwakili peguam meminta agar hukumannya diringankan kerana sudah tidak lagi bekerja di Singapura sebelum ini.

“Saya sudah berusia lebih 50 tahun dan susah mencari kerja dan isteri saya pula warga Indonesia.

“Saya menyesal atas perbuatan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan serta mengubah menjadi lebih baik,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa bersama adik saudaranya sedang berjalan di kawasan kejadian sebelum secara tiba-tiba suspek yang menaiki sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam memanggil mereka datang.

Kemudian mangsa dan adik saudaranya telah berhenti di tepi kereta itu sebelum suspek bertanya lokasi tandas dan mangsa telah melihat seluar suspek dalam keadaan telah diturunkan dengan suspek memegang kemaluan sambil memandang ke arah mangsa.

Pihak pendakwaan memohon satu hukuman yang maksimum dengan mengambil kira kepentingan awam dan mangsa kes tersebut.

Hakim seterusnya menjatuhkan hukuman denda RM7,000 jika gagal bayar akan dipenjara tujuh bulan serta pengawasan polis selama setahun.