Video pertengkaran tular: Dua lelaki direman kes ugutan jenayah

LocalPolitics
28 Dec 2025 • 2:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video tular yang memaparkan pertengkaran melibatkan dua lelaki tempatan di tepi Jalan Sungai Dahaka, Bukit Tengah. - Gambar kecil (Helmi)

BUKIT MERTAJAM – Polis membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan susulan penularan satu video yang memaparkan pertengkaran melibatkan dua lelaki tempatan di tepi Jalan Sungai Dahaka, Bukit Tengah, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya mengesan video berkenaan yang tular di media sosial pada 27 Disember lalu sebelum menerima dua laporan polis daripada kedua-dua individu terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian sebenar berlaku pada 25 Disember lalu berpunca daripada salah faham antara dua pemandu yang kemudiannya mencetuskan pertengkaran mulut.

“Pertengkaran itu dipercayai membawa kepada ugutan jenayah apabila salah seorang lelaki bertindak agresif dengan memegang sebatang kayu hoki.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit telah ditahan dan permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.

“Mahkamah membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga 31 Disember ini bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Helmi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhemah ketika berada di jalan raya serta tidak bertindak mengikut emosi yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Orang ramai juga diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan kerana ia boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan keselamatan awam,” tambahnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved