[VIDEO] Perusuh jual beg LV, Hermes tepi jalan harga tidak masuk akal

WorldBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 2:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Perusuh jual beg LV, Hermes tepi jalan harga tidak masuk akal

PARIS – Lambakan barangan mewah berjenama yang dijual pada harga lelongan tidak masuk akal kini berlaku di tepi jalan beberapa bandar utama di Perancis.

Ia susulan siri rusuhan ganas dan pergolakan sivil berskala besar membantah kos sara hidup yang menyaksikan lebih 3,000 kedai dan butik eksklusif dimasuki, dirompak dan dirosakkan kumpulan perusuh.

Menerusi video yang tular di media sosial mendapati, kawasan kaki lima di bandar raya Paris dan Marseille bertukar menjadi pasaran gelap lambakan beg tangan, wangian, pakaian, dan aksesori tulen.

Antara jenama mewah yang menjadi mangsa rompakan termasuklah Louis Vuitton, Hermès, Celine, dan Burberry.

Kerugian dianggarkan mencecah ratusan juta Euro, dengan sebuah butik Rolex di Marseille sahaja dilaporkan kerugian €3 juta Euro (RM14.1 juta), manakala butik Louis Vuitton di Bordeaux menanggung kerugian €1.25 Euro juta (RM5.8 juta).

Modus operandi kumpulan penjenayah ini adalah dengan menghamparkan kain di tepi jalan bagi mempamerkan hasil barangan curi tersebut dan bertempiaran lagi jika ada pihak berkuasa melakukan operasi tangkapan.

Lebih mengejutkan, barangan berjenama itu dilelong dengan potongan harga melampau antara 80 hingga 90 peratus lebih murah berbanding harga butik asal.

Selain jualan terus di kaki lima, lambakan barangan curi ini turut membanjiri platform digital dan aplikasi jualan barangan terpakai popular seperti Vinted.

Kementerian Kewangan Perancis telah mengadakan mesyuarat tergempar dengan pengendali platform digital termasuk Vinted, Amazon, eBay, Meta, dan TikTok bagi menyekat jualan serta memadam akaun yang mencurigakan.

Syarikat-syarikat ini telah bersetuju untuk mengesan iklan barangan yang masih mempunyai tag keselamatan anti-kecurian yang belum ditanggalkan.

Menteri Perniagaan Kecil Perancis, Serge Papin, mengeluarkan amaran keras bahawa mana-mana individu yang menjual atau membeli barangan hasil curi ini akan dikesan dan dihadapkan ke muka pengadilan. – Agensi

The post [VIDEO] Perusuh jual beg LV, Hermes tepi jalan harga tidak masuk akal appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved