[VIDEO] Polis halang peserta Himpunan #Turun berarak ke Dataran Merdeka

LocalPolitics
23 Jul 2022 • 3:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa mengadakan halangan ketat dihadapan sebuah pusat membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini bagi menyekat kemaraan kira-kira 100 peserta Himpunan #Turun berarak menuju ke Dataran Merdeka pada Sabtu.

Himpunan berkenaan yang disertai oleh pemimpin parti pembangkang, mahasiswa dan orang ramai mula berkumpul di hadapan pusat membeli-belah berkenaan seawal jam 2 petang.

Tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku apabila mereka yang berhimpun akur dengan saranan pihak polis untuk bersurai kira-kira jam 3 petang.

image is not available

Mereka yang berpakaian serba hitam berkumpul dengan membawa sepanduk dan plakad menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barangan keperluan yang membebankan rakyat.

Turut hadir memberikan ucapan pada himpunan berkenaan ialah Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK),Adam Adli; Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional, Abbas Azmi; Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Selangor, Faridul Amini; Timbalan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor, Tan Wee King dan Naib Ketua Pemuda Amanah Selangor, Afiq Danish.

Sementara itu, Abbas Azmi di dalam ucapannya mengesa rakyat untuk bangkit membantah kenaikan kos sara hidup yang menyusahkan rakyat.

Menurutnya, isu kenaikan harga barang yang sudah tidak mampu dikawal oleh kerajaan berlaku disebabkan sistem tadbir urus yang lemah.

“Kerajaan harus bertindak segera menyelesaikan isu kenaikan harga barang dan mendengar keluh kesah rakyat kerana bantuan yang diberikan hanya bersifat sementara," ujarnya.

image is not available

Jelasnya, kerajaan perlu ada perancangan masa akan datang yang dapat membantu mengurangkan beban rakyat terkesan khususnya kepada golongan B40.

Sebelum ini, polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam Himpunan #Turun.

image is not available

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung himpunan itu

Menurutnya, tiada notis pemakluman (penganjuran himpunan berkenaan) kepada pihak polis mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.