


KUALA PILAH - Tiga video tular di aplikasi WhatsApp memaparkan beberapa pengundi tidak berpuas hati apabila Pusat Mengundi di Balai Raya Kampung Melang, di sini ditutup seawal jam 2 petang.
Dalam video berdurasi 30 saat itu menunjukkan beberapa orang awam menunggu di luar balai raya berkenaan dengan keadaan pagar yang telah ditutup.
**media[1991958]**
Malah berlaku sedikit kekecohan kerana mereka mendakwa sepatutnya pusat mengundi dibuka sehingga jam 6 petang.
Pegawai Pengurus Pilihanraya Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, mengikut Borang 8 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa pusat mengundi ditutup lebih awal termasuk di Kampung Melang seperti yang telah diwartakan.
"Pusat mengundi di Balai Raya Kampung Melang memang ditutup awal iaitu jam 2 petang, perkara itu memang sudah diwartakan SPR dan ia boleh dirujuk di borang 8.
"Kami petugas hanya menjalankan arahan diberikan SPR. Jika pusat mengundi itu dibuka sehingga jam 6 seperti pusat lain, ia mungkin mendapat bantahan daripada pihak SPR sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
**media[1991957]**
Mohd Faizal berkata, dia juga kesal dengan insiden itu sehingga menyebabkan pengundi tiada kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih calon pilihan masing-masing.
"Bagaimanapun, ia memang sudah ditetapkan begitu. Bukan di Kampung Melang sahaja, malah terdapat pusat mengundi yang ditutup lebih awal iaitu jam 2 dan 4 petang.
"Pengundi juga sepatutnya lebih cakna dengan pusat mengundi mereka dan keluar mengundi lebih awal," katanya.

![PRU15: [Langsung] Keputusan Undian Pilihan Raya Umum ke-15](https://cdn.newswav.com/img/topic/politics.jpeg)