LUMUT – Operasi hari ketiga mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di perairan Pulau Pangkor di sini berdepan cabaran besar apabila keadaan mayat berisiko kembung selain dihanyutkan lebih jauh.
**media[3519546]**
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kebiasaannya mayat akan mula terapung pada hari kedua, namun keadaan fizikal mangsa pada hari ketiga boleh berubah sehingga menjejaskan usaha pengesanan.
“Pada hari ketiga ini, jika mayat masih dalam keadaan kembung, ia akan terus terapung.
"Namun, jika telah terurai, mayat berkemungkinan tenggelam dan ini menyukarkan pencarian,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kampung Acheh di sini pada Rabu.
Menurut beliau, setakat jam 2.30 petang, tiada penemuan baharu dilaporkan.
**media[3519547]**
Bagaimanapun katanya, operasi diteruskan dan kawasan pencarian diperluaskan kepada 343 batu nautika persegi dengan bantuan aset udara serta aset laut.
"Fokus pencarian kini tertumpu ke arah utara perairan selepas penemuan mayat pada hari kedua menunjukkan pergerakan hanyutan antara 14 hingga hampir 18 batu nautika dari lokasi kejadian.
“Berdasarkan corak hanyutan, terdapat kemungkinan mayat mangsa dihanyutkan lebih jauh sehingga mencecah jarak antara 25 hingga 27 batu nautika dari lokasi asal bot karam,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini tujuh mayat telah ditemukan membabitkan seorang lelaki dan enam wanita, manakala tujuh lagi mangsa masih hilang.
Operasi SAR melibatkan tujuh aset iaitu satu pesawat udara dan enam bot daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Pasukan Polis Marin.
Dalam kejadian Isnin lalu, sebuah bot dipercayai membawa 37 PATI warga Indonesia karam di perairan berkenaan.
Seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan, terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita. Mereka kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bagi membantu siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati kesemua mangsa dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei lalu dan dalam perjalanan ke beberapa destinasi di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.






