![Image from: [VIDEO] Sekolah Johor lengang, PdPR ganti kelas](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-08-at-11.37.09-AM-1024x730.jpeg)
JOHOR BAHRU – Kesediaan digital guru, sokongan ibu bapa, serta keprihatinan kepimpinan akar umbi menjadi benteng utama memastikan sesi persekolahan di Johor berjalan lancar apabila lebih 600,000 murid beralih ke Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan penutupan sekolah akibat jerebu, hari ini.
Tinjauan Bernama di beberapa daerah mendapati premis persekolahan lengang dan mematuhi pekeliling penutupan sekolah selama dua hari bermula hari ini. Sesi pembelajaran di ruang maya bagaimanapun tetap berjalan lancar hasil penglibatan kolektif pelbagai pihak.
Di Mersing, guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Endau, Nadia Natasha Mhd Roslaile, 28, berkata, pengalaman mengendalikan PdPR sejak menjalani praktikum pada 2020 memudahkan penyesuaian kaedah pengajaran dibuat secara serta-merta.
“Setakat ini, sebahagian besar murid memberikan maklum balas baik. Capaian Internet yang semakin kukuh membolehkan bahan pembelajaran disampaikan menerusi WhatsApp, e-mel Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), dan Google Classroom yang membolehkan penglibatan murid dipantau,” katanya.
DELIMa merupakan pelantar pembelajaran dalam talian yang menyediakan sistem pengurusan pembelajaran serta bahan rujukan untuk kegunaan guru dan murid menerusi peranti berinternet.
Di Batu Pahat pula, peranan memastikan keselamatan dan kelangsungan pendidikan murid tidak diserahkan kepada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) semata-mata.
Ketua Kampung Pekan Parit Sulong, Shuhaimi Abd Hamid berkata, pihaknya mengambil inisiatif menyebar luas maklumat penutupan sekolah menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram, selain melakukan rondaan kawasan pada sebelah pagi.
“Saya membuat rondaan bagi memastikan tiada anak-anak berkeliaran di luar rumah. Penutupan sekolah ini penting bagi melindungi mereka daripada pendedahan risiko kesihatan akibat jerebu,” jelasnya. – Bernama
The post [VIDEO] Sekolah Johor lengang, PdPR ganti kelas appeared first on Kosmo Online.

