![Image from: [VIDEO] Tengah azan subuh, masih buat projek curi kabel](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-15-at-12.06.05-PM-1024x768.jpeg)
PETALING JAYA – Sedang azan subuh berkumandang, sekumpulan individu dipercayai masih ‘sibuk’ menjalankan kerja-kerja mencurigakan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan mencuri kabel berhampiran stesen LRT Jelatek di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads @kyle_era menerusi satu video dimuat naik memaparkan sekumpulan individu dan dua buah kereta serta sebuah motosikal selain ada yang memakai sarung muka bagu menutupi identiti.
Menerusi hantaran tersebut, pengguna berkenaan meluahkan rasa hairan melihat aktiviti berkenaan berlaku pada awal pagi.
“Kerja gila berlaku pagi ini. Rasanya nombor pendaftar kenderaan juga adalah palsu,” katanya.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang rata-rata meluahkan kebimbangan terhadap kegiatan pencurian kabel yang dilihat semakin berani dilakukan secara terbuka.
Pengguna Threads menggunakan akaun @cucibersihbersih berkata, kegiatan mencuri kabel kini dilihat tidak lagi dilakukan secara sembunyi seperti sebelum ini, malah berani dilakukan ketika orang ramai berada di sekitar lokasi.
“Kes curi kabel sekarang bukan macam dulu. Mereka berani buat terang-terang, waktu orang ramai.
“Eloknya boleh pinda seksyen, hukuman sebatan 20 kali minimum. Bukan kecil-kecil jumlah kerugian sebab kes curi kabel ini,” katanya.
Sementara itu, @im_nizamm mendakwa kabel berkenaan baru sahaja dipasang oleh pihak Telekom Malaysia (TM) kira-kira pukuo 1 pagi sebelum dipercayai dicuri semula beberapa jam kemudian.
“Bro, malam tadi pukul 1 pagi baru TM pasang. Sekali pagi ini kena curi,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna @ijat_ajis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian sedemikian supaya segera menghubungi polis dan membuat laporan bagi membantu siasatan.
Menurutnya, penggunaan peralatan serta kemahiran untuk membuka ‘manhole’ menunjukkan pelaku mungkin mempunyai pengalaman atau pengetahuan berkaitan kerja pemasangan kabel.
“Tools and skill (peralatan dan cara) buka ‘manhole’ nampak profesional. Sama ada installer (pemasang) atay kontraktor yang biasa buat kerja, tahu bagaimana nak halang trafik dan tak gugup bila potong kabel,” katanya.
Seorang pengguna lain, wankumuk pula mempersoalkan bagaimana pelaku boleh mengambil kabel dengan mudah tanpa berdepan risiko renjatan elektrik.
“Aku hairan betul yang curi kabel ini senang-senang saja ambil, tak ada pula mampus kena renjatan atau apa. Yang kerja pasang kabel, habis segala alat keselamatan pakai, risaukan diri sendiri,” katanya.
Turut melahirkan rasa kesal ialah @daniel yang mempersoalkan tindakan individu terbabit melakukan kerja tersebut ketika azan Subuh berkumandang.
“Dah tak ada kerja ke dia orang ni? Azan pun masih buat kerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Tengah azan subuh, masih buat projek curi kabel appeared first on Kosmo Online.


