[VIDEO] THhujjaj mudahkan urusan jemaah haji Malaysia

LocalTravel
28 Apr 2026 • 2:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] THhujjaj mudahkan urusan jemaah haji Malaysia
Image from: [VIDEO] THhujjaj mudahkan urusan jemaah haji Malaysia
Aplikasi THhujjaj memudahkan jemaah mengakses maklumat penting secara lebih pantas.
Image from: [VIDEO] THhujjaj mudahkan urusan jemaah haji Malaysia
Mohd Fahmi (tengah) dalam sesi taklimat media di Makkah pada Selasa.

MAKKAH – Pelbagai penambahbaikan yang dilaksanakan pada musim haji tahun ini membolehkan jemaah haji Malaysia menikmati urusan lebih tersusun, selesa dan teratur sepanjang berada di Tanah Suci melibatkan pengurusan maktab, penginapan, kesihatan serta pergerakan jemaah.

**media[3504677]**

Pengarah Operasi Maktab, Mohd Fahmi Kamarudin berkata, antara pembaharuan utama yang diperkenalkan ialah platform digital THhujjaj bagi membantu jemaah mendapatkan maklumat itinerari, agenda harian serta informasi terkini sepanjang berada di Tanah Suci.

Menurutnya, platform itu memudahkan jemaah mengakses maklumat penting secara lebih pantas dan teratur selain menjadi medium komunikasi yang lebih efisien.

Katanya, THhujjaj turut menyediakan peta interaktif digital bagi mengetahui lokasi semasa di Makkah, Masyair dan Madinah, sekali gus membantu jemaah terutama warga emas serta mereka yang pertama kali menunaikan haji.

Beliau berkata, kemudahan itu juga dijangka mengurangkan risiko jemaah tersasar selain memudahkan perjalanan ke lokasi penting sepanjang musim haji.

“Jemaah haji boleh menggunakan Google Map apabila mereka boleh guna peta interaktif yang dibekalkan oleh Tabung Haji untuk balik ke lokasi penginapan masing-masing,” katanya dalam sesi taklimat media di sini.

**media[3504678]**

Selain itu, Mohd Fahmi berkata, sebanyak enam maktab muasasah disediakan tahun ini bagi menempatkan 22,120 jemaah haji muasasah di bawah kelolaan enam pengurus maktab.

Katanya, hotel penginapan baharu iaitu Hotel Al-Kiswah turut diperkenalkan bagi menempatkan kira-kira 6,000 jemaah haji, menggantikan beberapa hotel lama yang tidak dapat beroperasi sepenuhnya bagi musim 1447H.

“Pada tahun ini juga berlaku penambahan jumlah jemaah di setiap maktab iaitu lebih kurang 4,000 jemaah bagi satu maktab.

“Kita juga menambah 10 petugas dan tiga pembimbing ibadat haji di setiap maktab tersebut,” katanya.

Mohd Fahmi berkata, fasiliti di maktab dan bangunan perkhidmatan jemaah haji kekal seperti sebelum ini termasuk klinik, pejabat operasi serta penempatan petugas dan pembimbing ibadat haji.

Tambah beliau, petugas maktab turut menguruskan proses umrah pertama jemaah bermula dari bangunan perkhidmatan sehingga selesai tawaf dan saei di Masjidil Haram bagi memastikan ibadah dilaksanakan mengikut tertib ditetapkan.

Setakat ini, katanya, tiada masalah besar dilaporkan melibatkan jemaah haji Malaysia, manakala penambahbaikan turut melibatkan operasi di Arafah dan Mina termasuk penyediaan sofa bed lengkap dengan tag nama dan gambar jemaah, sajian ready to eat meal (RTI) serta tandas dua tingkat.

Kemudahan itu berjaya mengurangkan masa menunggu tandas daripada 45 minit kepada sekitar 20 hingga 30 minit.

“Kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia dijamin mendapat tempat di Arafah dan Mina dengan susunan lebih teratur, selain penempatan lebih selesa dan terancang.

“Pelbagai penambahbaikan yang dilaksanakan tahun ini memberi fokus kepada keselesaan, keselamatan dan kelancaran operasi jemaah di Tanah Suci, sekali gus memberi keyakinan kepada keluarga di tanah air,” katanya.