
MELAKA - Tiga kali bertukar sekolah dalam tempoh dua tahun tidak menghalang seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) daripada komuniti Orang Asli suku Kuala meraih keputusan cemerlang 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
**media[3477551]**
Nur Afiera Aisyah Mohd Nasir, 17, yang mengalami kecacatan fizikal pada tangan kiri sejak lahir, memulakan persekolahan di Sekolah Menengah Sains Alor Gajah (SAGA) selama tiga bulan sebelum menghabiskan Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Semenchu, Kota Tinggi, Johor.
Dia kemudian menyambung pengajian Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Dol Said, Melaka.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, keputusannya meninggalkan SAGA merupakan langkah tepat kerana menghadapi kesukaran mengikuti aliran sains selain kekangan fizikal untuk menguruskan diri di asrama.
“Disebabkan itu, saya mengambil keputusan bertukar ke sekolah harian. Saya juga tidak dapat meneruskan aliran sains ketika itu.
“Walaupun bertukar sekolah sebanyak tiga kali, saya yakin itu keputusan terbaik kerana mungkin saya tidak akan memperoleh keputusan seperti ini jika terus kekal dalam aliran sains di sekolah berasrama penuh,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman dan Apresiasi SPM 2025 di Auditorium Hospital Oriental Klebang di sini pada Selasa.
Katanya, dia turut berdepan cabaran mengejar silibus Tingkatan Empat yang tertinggal susulan pertukaran daripada aliran sains ke aliran ekonomi serta pertukaran sekolah.
“Saya berdepan kesukaran dalam beberapa subjek seperti Perniagaan dan Ekonomi kerana hanya mula mengambilnya di Tingkatan Lima, jadi perlu mengejar silibus Tingkatan Empat yang tertinggal.
“Saya cuba memahami setiap perkara yang diajar oleh guru, alhamdulillah saya berjaya membuktikan mampu cemerlang,” katanya.
Ketika diminta tip untuk cemerlang SPM, dia menasihatkan calon SPM agar tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata orang lain, sebaliknya fokus kepadamatlamat diri.
“Tidak perlu mengambil terlalu banyak tuisyen untuk berjaya, sebaliknya rujuk guru jika tidak faham,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Nurul Huzaimah Wati Md Sudin, 46, berkata, kejayaan anaknya banyak didorong oleh komitmen guru dan pihak sekolah yang menyediakan kelas tambahan tanpa memerlukan tuisyen luar.
“Saya lihat dia kerap mengulang kaji pada waktu malam. Walaupun keputusan peperiksaan bulanan kurang memberangsangkan, dia tetap berusaha dan akhirnya berjaya mengatasi cabaran itu.
“Dia juga menjadikan abangnya sebagai inspirasi. Abangnya memperoleh 11A dalam SPM 2024 dan kini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan,” katanya.
Beliau yang merupakan suri rumah berkata, dia dan suaminya, Mohd Nasir Mohamed, 47, banyak memberikan dorongan dan semangat buat anak-anaknya agar terus berusaha mencapai cita-cita.
“Dengan keputusan yang diperoleh ini, saya berharap ia dapat merealisasikan impian Nur Afiera Aisyah untuk menjadi seorang peguam.
“Dia juga telah memohon program asasi undang-undang di UIAM,” katanya.
Untuk rekod, Mohd Nasir merupakan Orang Asli daripada suku Kuala dan kini bekerja sebagai pembantu juruukur di Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Melaka.
