MARANG - Pas menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Negeri Sembilan yang menarik balik Akuan Bersumpah (SD) sokongan terhadap pembentukan Kerajaan Negeri sebagai satu langkah yang melanggar prinsip setia kawan.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah pun menghantar surat kepada Bersatu bagi menyatakan bantahan berhubung tindakan mengejut wakil rakyat mereka itu.
Menurut beliau, Pas mempunyai tiga kerusi manakala Bersatu memiliki dua kerusi di Negeri Sembilan yang mana jika dicampurkan dengan 14 kerusi daripada UMNO, gabungan itu sudah mempunyai jumlah yang cukup iaitu 19 kerusi untuk menyatakan kepercayaan kepada Kerajaan Negeri.
"Malangnya, tiba-tiba Bersatu menarik balik SD tersebut dan membatalkannya. Kita menganggap ini sebagai satu langkah yang melanggar setia kawan antara kita. Alasan-alasan mereka itu tidak boleh diterima.
"Mengapa Bersatu menarik balik sedangkan UMNO pun tidak menarik balik?" katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Rusila di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman dan AJK Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Kemelut politik di Negeri Sembilan menyaksikan dua ADUN Bersatu iaitu ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad dan ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker mengambil pendirian berkecuali.
Ridzuan menjadi wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) pertama mengumumkan pendirian itu atas alasan mahu mengekalkan kestabilan politik, manakala Mohamah Hanifah menyusul kemudian dengan menegaskan sebarang perubahan pentadbiran harus dikembalikan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya.
**media[3529253]**
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, tindakan tersebut bukanlah kali pertama dilakukan oleh Bersatu yang dilihat tidak menghormati semangat setiakawan dalam gabungan PN.
"Sebelum ini, mereka (Bersatu) telah bertindak di Perlis dengan menyokong usul tidak percaya terhadap Menteri Besar kita di Perlis. Walaupun mereka bertindak begitu, kita telah memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka dan kita masih bersabar demi keutuhan PN.
"Apabila perkara ini berlaku lagi, kita akan mengkaji dan berbincang dengan pimpinan Perlis mengenai tindakan selanjutnya. Apabila mereka tidak menghormati Perikatan Nasional, apa lagi yang boleh kita katakan?" katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai cadangan sesetengah pihak yang mahu merombak pentadbiran di Kedah dan Kelantan, membabitkan kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Kedah serta jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) di kedua-dua negeri berkenaan.
Abdul Hadi menegaskan Pas menolak cadangan untuk 'memecahkan muka' atau merombak pentadbiran sedia ada memandangkan prestasi semua individu yang memegang jawatan tersebut berada pada tahap yang baik.
"Bagi kita, kita melihat kepada prestasi individu tersebut. Mereka telah melaksanakan tugas dengan baik, maka tidak perlu ada sebarang perombakan atau penyingkiran.
"Tindakan sedemikian tidak ada dalam pendekatan parti kita melainkan jika ada sebab dan alasan yang kukuh," ujarnya lagi.
Awal bulan ini, dua wakil rakyat Kedah yang dipecat oleh Bersatu iaitu Exco Negeri Dzowahir Ab Ghani (ADUN Suka Menanti) dan Timbalan Speaker DUN Abdul Razak Khamis (ADUN Sungai Tiang) dibenarkan mengekalkan jawatan masing-masing.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan bahawa mereka kekal menjalankan tugas dan status mereka ditukar menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri, sementara menunggu proses rayuan parti selesai.
