Video tular aniaya kucing, JPV Terengganu terima lebih 300 aduan

31 Mar 2026 • 11:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dr Anun. Foto Bernama

DUNGUN - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu menerima lebih 300 aduan berhubung kejadian seekor kucing yang dilaporkan dianiaya oleh dua kanak-kanak. 

Pengarah JPV Terengganu, Dr Anun Man berkata, sehubungan itu, pihaknya akan menyiasat secara menyeluruh kejadian tersebut yang dipercayai berlaku di daerah Dungun.

"Kita memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan perbuatan zalim terhadap haiwan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Terdahulu tular di laman sosial sebuah video berdurasi 18 saat yang memaparkan seekor kucing dianiaya dua kanak-kanak sehingga mengundang kemarahan orang ramai.

Video berkenaan menunjukkan seorang kanak-kanak menarik tali yang diikat pada leher kucing manakala seorang lagi kanak-kanak dilihat menyepak dan memukul kepala kucing itu menggunakan selipar. - Bernama

 

 

 

View Original Article