Video tular dedah penerokaan tanah, penempatan haram di 17,000 hektar hutan di Raub

LocalPolitics
19 Apr 2025 • 12:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Individu yang menjadi jurucakap video berkenaan mendakwa lebih 17,000 hektar hutan telah dterokai secara haram bermula dengan aktiviti pembalakan tidak sah.

SHAH ALAM - Sebuah video tular di media sosial mendedahkan dakwaan berani berkaitan kegiatan penerokaan hutan simpan secara haram di sekitar daerah Raub, Pahang yang dipercayai melibatkan pelbagai pihak.

Menerusi video berdurasi lebih dua minit itu, individu yang menjadi jurucakap mendakwa bahawa lebih 17,000 hektar hutan telah diteroka secara haram, bermula dengan aktiviti pembalakan tidak sah.

“Hasil balak haram dijual, ada yang kaya-raya. Hutan simpan jadi gondol, kemudian masuk pula projek tanaman durian haram.

“Dalam masa sama, dibina pula penempatan haram untuk pendatang asing. Mereka tinggal tanpa permit di dalam hutan, dan hendak bercakap dalam bahasa kebangsaan pun tidak fasih,” dakwanya dalam video tersebut.

Rakaman itu menjadi tular sejak beberapa hari lalu, susulan pendedahan berterusan mengenai isu kebun durian Musang King yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri di daerah berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima tiga laporan yang mendakwa penjawat awam telah dihalang menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kerajaan negeri terhadap kebun durian haram di Sungai Ruan, sejak 8 April lalu.

Susulan insiden tersebut, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa pencerobohan itu merupakan satu bentuk rompakan terbuka terhadap harta kerajaan yang wajib dihentikan segera.

Baginda turut menegaskan bahawa tiada sebarang kelulusan baharu akan diberikan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terhadap mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.

Lebih mengejutkan, video tular itu turut mengaitkan kewujudan sebuah banglo mewah dan projek perumahan haram yang didakwa semakin rancak berlaku di kawasan tersebut.

Sinar Harian kini sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa berhubung pendedahan kontroversi berkenaan.