Ketua Menteri Tamil Nadu, C. Joseph Vijay mengarahkan penutupan segera 717 premis jualan arak milik TASMAC yang dikenal pasti terletak berhampiran kawasan sensitif termasuk rumah ibadat, sekolah dan terminal bas di seluruh negeri itu.
Menurut laporan Times of India, arahan tegas tersebut dibuat selepas satu pemeriksaan menyeluruh dijalankan oleh pihak berkuasa negeri bagi mengenal pasti kedai-kedai arak yang berada dalam lingkungan kawasan awam yang dianggap berisiko.

Foto: IG Pinarayi Vijayan
Hasil semakan mendapati 276 premis terletak berhampiran tempat ibadat, 186 berhampiran institusi pendidikan seperti sekolah dan kolej, manakala 255 lagi berada di sekitar terminal bas.
Secara keseluruhan, 717 kedai telah disenaraikan untuk ditutup dalam tempoh dua minggu akan datang sebagai sebahagian langkah penyusunan semula lokasi jualan arak di negeri itu.
Kerajaan negeri memaklumkan langkah berkenaan bertujuan mengurangkan pendedahan masyarakat, khususnya pelajar kepada premis jualan alkohol di kawasan tumpuan umum serta menangani kebimbangan awam mengenai jarak operasi kedai arak daripada lokasi sensitif.
Ketika ini, TASMAC mengendalikan kira-kira 4,765 kedai runcit arak di seluruh Tamil Nadu di bawah kawalan kerajaan negeri.

Foto: indianewsnetwork
Terdahulu, Vijay yang juga bintang terkenal dan partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam memenangi pilihan raya di negeri Tamil Nadu sekali gus dilantik sebagai ketua menteri.
Sumber: Times of India
The post Vijay Arah Tutup 717 Kedai Arak Dekat Sekolah, Kuil Dan Terminal Bas appeared first on Borak Daily.
