
KUALA LUMPUR 3 Dis – Komuniti Seremban 2 bakal menikmati gaya hidup baharu dengan pembukaan pasar raya premium Village Grocer oleh IJM Land, yang dijangka menjadi nadi aktiviti harian penduduk di kawasan perbandaran itu.
Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon berkata, projek bernilai RM25 juta itu dijangka siap pada suku keempat 2027.
“Ia akan menawarkan kemudahan membeli-belah yang lebih selesa dan moden kepada lebih 62,000 penduduk Seremban 2.
“Kemasukan Village Grocer ke Seremban 2 merupakan pencapaian penting dalam sektor runcit serta mencerminkan perkembangan pantas di Kawasan perbandaran ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Kewujudan Village Grocer akan memperkukuh kedudukan Seremban 2 sebagai destinasi pilihan di Negeri Sembilan dan contoh perbandaran moden untuk wilayah ini.
Majlis pecah tanah projek tersebut diadakan baru-baru ini, menandakan permulaan kepada pembangunan di kawasan seluas 1.9 ekar dengan ruang membeli-belah seluas 26,240 kaki persegi.
Ia turut dilengkapi 100 petak parkir untuk keselesaan pengunjung.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan TFP Retail Sdn Bhd, Ivan Tan, berkata kehadiran Village Grocer di Seremban 2 memberikan peluang kepada komuniti untuk menikmati pengalaman membeli-belah baharu serta menyokong pengeluar tempatan.
Beliau berkata, Village Grocer akan mengekalkan reputasinya sebagai penyedia pengalaman runcit premium dengan menekankan kesegaran, kualiti dan kepelbagaian produk.
“Cawangan baharu ini bakal menampilkan penghantaran hasil segar setiap hari, pilihan gourmet dan produk organik, serta rangkaian produk antarabangsa.
“Kaunter daging dan makanan laut akan menampilkan pilihan premium yang diperoleh secara bertanggungjawab. Reka bentuknya menitikberatkan keselesaan keluarga dengan laluan luas, troli mesra kanak-kanak serta kemudahan sokongan lain.
“Sepanjang tahun, Village Grocer akan mengadakan kempen perayaan yang meraikan kepelbagaian rasa dan tradisi Malaysia, menjadikan setiap kunjungan pengalaman membeli-belah yang lebih bermakna,” katanya.
Pasar raya premium ini dijangka menawarkan 90 hingga 150 pekerjaan dalam operasi, bahagian khusus dan pengurusan, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti tempatan.
Selain itu, projek ini membuka peluang kerjasama dengan petani, pembekal dan perusahaan kecil dan sederhana, yang dijangka menghasilkan 150 hingga 300 pekerjaan tambahan dalam sektor pertanian, logistik dan perkhidmatan.
Inisiatif ini turut memperkukuh rantaian bekalan, piawaian kualiti dan mendorong pembangunan produk baharu, sekaligus memberi impak positif kepada ekonomi tempatan dan industri runcit negara. - DagangNews.com

