

Tular di media sosial yang menunjukkan tiga penunggang motosikal berkuasa tinggi terbabit dalam satu kemalangan di lokasi sama di Kilometer 43.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah timur, dekat Bentong, pagi semalam.
Video itu menunjukkan pada mulanya, seorang penunggang terjatuh dan kemudian disusuli dua penunggang motosikal turut terjatuh manakala salah sebuah motosikal mereka terbakar.
Seorang penunggang motosikal yang turun dari motosikalnya untuk membantu rakan-rakannya dilihat nyaris terkena serpihan motosikal yang terseret di atas jalan
Mujur, kesemua penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu selamat.
Susulan itu, polis sedang mengesan dua daripada tiga penunggang motosikal berkuasa tinggi yang terbabit dalam kemalangan terbabit.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kejadian berkenaan dikesan selepas satu video berdurasi satu minit 20 saat tular di laman sosial pada jam 8 malam tadi.
Hasil siasatan mendapati motosikal terbabit hilang kawalan, tergelincir dan terbabas ke longkang di bahu kiri jalan.
"Seorang penunggang yang dapat dikesan memaklumkan cedera di kaki kanan, manakala dua lagi belum dapat dihubungi," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sedang mengesan penunggang terbabit untuk tampil membantu siasatan.
"Pihak polis sudah membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Pada masa sama, beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang menjadikan laluan terbabit seperti litar lumba.
"Polis Bentong akan menjalankan operasi secara berterusan bagi memastikan lokasi dan laluan berkenaan tidak sesekali dijadikan seperti litar lumba oleh pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab," katanya.


