
Virus Marburg: WHO Adakan Mesyuarat Tergempar
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan mengadakan menyuarat “tergempar” pada hari Selasa sebagai tindak balas kepada wabak virus Marburg yang merbahaya di Afrika, lapor New York Post.
Sekurang-kurangnya sembilan orang disahkan meninggal dunia akibat wabak pertama virus itu di Equatorial Guinea. Penyebaran wabak itu telah mendorong pegawai WHO untuk bertemu bagi membincangkan kemajuan mengenai vaksin dan rawatan.
Virus Marburg adalah salah satu penyakit paling mematikan yang diketahui manusia. Ia menyebabkan demam berdarah dengan nisbah kematian setinggi 88%. Jumlah itu jauh lebih tinggi daripada virus yang hampir serupa seperti Ebola, menurut WHO.
Seperti Ebola, penyakit itu ditularkan kepada manusia daripada haiwan kelawar buah. Ia kemudiannya akan merebak pada manusia melalui sentuhan langsung dengan cecair badan orang yang dijangkiti dan permukaan seperti cadar atau pakaian, kata WHO.
WHO adakan mesyuarat tergempar
“Marburg sangat berjangkit. Terima kasih kepada tindakan pantas dan tegas oleh pihak berkuasa Equatorial Guinea dalam mengesahkan penyakit itu.
“Tindak balas kecemasan mampu mencegah dengan cepat supaya kami boleh menyelamatkan nyawa dan menghentikan virus itu secepat mungkin,” kata Dr. Matshidiso Moeti, Pengarah Wilayah WHO untuk negara Afrika.
Sampel dari Equatorial Guinea dihantar ke makmal Senegal untuk menentukan punca wabak itu selepas amaran daripada pegawai kesihatan tempatan minggu lalu, kata WHO.
Setakat ini, sembilan orang daripada 16 kes disyaki telah meninggal dunia dengan gejala termasuk demam, keletihan, cirit-birit dan muntah berdarah.
Gejala virus Marburg
Gejala yang menyakitkan berlaku dengan cepat, dan pesakit biasanya mengalami gejala pendarahan yang teruk dalam masa tujuh hari, kata WHO.
Selepas beberapa hari dijangkiti, pesakit akan menunjukkan tingkah laku “seperti hantu”. Di mana renungan mata yang tajam, muka tanpa ekspresi dan kelesuan yang melampau, kata agensi itu lagi.
Kes maut biasanya melibatkan muntah berdarah dan najis serta pendarahan dari hidung, gusi dan faraj.
WHO berkata, ia telah menghantar pakar perubatan dan peralatan perlindungan untuk membantu pegawai Equatorial Guinea mengekang wabak itu.
Di negara jiran Cameroon, kes yang disyaki dikesan pada hari Isnin lalu di Olamze. Sebuah komuniti di sempadan Equatorial Guinea telah mengehadkan pergerakan di rantau itu.
“Pengawasan di lapangan telah dipergiatkan,” kata George Ameh, wakil negara WHO di Equatorial Guinea.
“Kontak rapat dikesan, seperti yang anda tahu, ia merupakan perkara asas kepada tindak balas itu. Kami telah mengerahkan semula pasukan COVID-19 yang berada di sana untuk pengesanan kontak rapat dengan pantas bagi membantu kami,” kata Ameh.
Pada masa ini, tiada vaksin atau rawatan antivirus yang dibenarkan untuk virus Marburg. Bagaimanapun, WHO berkata bahawa kelangsungan hidup telah dipertingkatkan dengan penjagaan sokongan seperti rehidrasi dengan cecair oral atau IV.
Beberapa rawatan seperti produk, terapi imun dan ubat serta jenis vaksin sedang dinilai.
“Kami sedang mengusahakan pelan tindak balas 30 hari di mana kami sepatutnya dapat mengukur langkah-langkah yang tepat dan mengukur keperluan tindakan,” kata Ameh lagi.
Marburg membunuh 90% daripada 252 orang yang dijangkiti wabak pada tahun 2004 di Angola. Tahun lepas, terdapat dua kematian Marburg dilaporkan berlaku di Ghana.
Virus jarang ditemui itu pertama kali dikenal pasti pada tahun 1967 selepas ia menyebabkan wabak penyakit serentak di makmal Marburg, Jerman dan Belgrade, Serbia.
Tujuh orang yang terdedah kepada virus itu semasa menjalankan penyelidikan ke atas monyet telah meninggal dunia.
Sumber: New York Post
The post Virus Marburg: WHO Adakan Mesyuarat Tergempar appeared first on Siakap Keli.



