ARAU – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan keyakinan bahawa visi menjadikan Perlis sebagai ‘Dubai kedua’ bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan pada masa hadapan.
Baginda bertitah, hasrat tersebut mampu dicapai sekiranya kerajaan dan rakyat negeri ini terus bekerja keras serta mempunyai kesungguhan membangunkan Perlis secara berterusan.
Menurut baginda, kenyataan mengenai visi besar itu sebelum ini mungkin dilihat terlalu awal dan sukar diterima sesetengah pihak, namun ia merupakan matlamat jangka panjang demi masa depan negeri berkenaan.
“Kita tengok ke belakang, Dubai 50 tahun dahulu. Tak ada lagi bangunan tinggi, cuma sekarang ini kita lihat pembangunan lebih pesat di Dubai. Kita pun ada peluang itu dengan Perlis Inland Port (PIP) (contohnya).
"Tetapi rakyat dan kerajaan mestilah bekerja dengan lebih kuat untuk mencapai visi itu,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Raja Perlis di Istana Arau di sini pada Ahad.
Tuanku Syed Sirajuddin berkata, usaha merealisasikan visi tersebut perlu dimulakan dari sekarang supaya generasi akan datang dapat meneruskan agenda pembangunan negeri sehingga berjaya dicapai.
Baginda turut menegaskan peluang ke arah merealisasikan matlamat itu sudah tersedia, khususnya menerusi pembangunan Perlis Inland Port (PIP) yang dilihat mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam pada itu, baginda turut berbangga dengan perkembangan sektor pelancongan Perlis yang kini semakin mendapat perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.
Menurut baginda, Perlis sebelum ini hanya dianggap sebagai negeri persinggahan bagi pelancong yang menuju ke Thailand atau Langkawi namun keadaan itu kini semakin berubah.
“Saya masih ingat 10 tahun dahulu kita buntu memikirkan cara menarik pelancong kerana Perlis hanya menjadi lokasi transit.
“Tetapi hari ini ramai pelancong datang khas ke Perlis. Kita perlu tambah lagi tarikan sedia ada seperti makanan dan harumanis yang sudah terkenal,” titah baginda.
Baginda turut menyeru agar aspek pemasaran pelancongan negeri diperkukuhkan bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Perlis.
Pada masa sama, Tuanku Syed Sirajuddin turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan termasuk polis dan tentera yang sentiasa memastikan keamanan negara terus terpelihara.
Titah baginda, keamanan yang dikecapi ketika ini membolehkan rakyat hidup dalam keadaan selamat dan aman.
