
Vivo X300 dan X300 Pro akhirnya dilancarkan secara global selepas pelancarannya di China beberapa minggu lalu. Kedua-dua peranti hadir dengan penawaran berkelas mercu serta menjalankan OriginOS 6 yang secara rasmi menggantikan FunTouch OS. Namun, kapasiti bateri untuk versi global didapati lebih kecil berbanding versi China sebelum ini.

Vivo X300 Pro dilengkapi dengan skrin LTPO AMOLED 6.78 inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 4500nits. Ia dipadankan dengan cip Mediatek Dimensity 9500, memori 16GB RAM LPDDR5X Ultra dan storan dalaman 512GB UFS 4.0.
Peranti ini menjalankan OriginOS 6 berasaskan Android 16 yang menggantikan FunTouchOS, sekali gus menandakan kemasukan rasmi OriginOS ke pasaran global. Untuk rekod, OriginOS sebelum ini hanya tersedia untuk peranti di China sahaja.

Sistem kameranya terdiri daripada gabungan 200MP + 50MP + 50MP di belakang manakala kamera hadapan pula beresolusi 50MP. Ia turut dilengkapi bateri 5440mAh dengan sokongan pengecasan pantas 90W dan pengecasan nirwayar 40W. Tubuh peranti juga melepasi piawaian IP68/69 untuk pelindungan tambahan terhadap air dan habuk.

Vivo X300 hadir dengan skrin LTPO AMOLED 6.31 inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 4500nits. Ia dikuasai oleh cip Mediatek Dimensity 9500, dipadankan dengan memori 16GB RAM LPDDR5X Ultra dan storan dalaman 512GB UFS 4.1.

Peranti ini menjalankan OriginOS 6 berasaskan Android 16, serta dilengkapi bateri berkapasiti 5360mAh dengan sokongan pengecasan pantas 90W dan nirwayar 40W. Sistem kamera terdiri daripada gabungan 200MP + 50MP + 50MP di belakang manakala swafoto pula 50MP. Ia turut menyokong piawaian IP68/69 sebagai pelengkap perlindungan.
Vivo Malaysia dilihat mula memberi bayangan tentang kehadiran siri X300 di pasaran tempatan namun tarikh pelancarannya masih belum diumumkan secara rasmi.
