Imigresen Perak tahan 12 GRO warga asing

13 Aug 2019 • 4:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

IPOH - Jabatan Imigresen Perak menahan 12 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing dalam serbuan di sebuah premis pusat terapi di Jalan Pinji, Ipoh semalam.

Serbuan yang dijalankan pada jam 10 malam itu pada mulanya menyebabkan kesemua wanita terbabit bertempiaran cuba melarikan diri dan ada yang berusaha menyembunyikan diri.

Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, kesemua wanita warga asing berumur 35 hingga 55 tahun itu ditahan dalam Ops Bersepadu melibatkan lapan pegawai Penguatkuasa Imigresen Perak berakhir jam 11.30 malam.

"Menurut maklumat awal yang diterima, premis yang diserbu ini disyaki menggaji warga asing tanpa pas yang sah dan bekerja sebagai GRO di mana ia beroperasi bermula jam 11 pagi hingga 1 pagi.

"Ketika serbuan dijalankan wanita-wanita ini sedang asyik melayan pelanggan dengan bayaran RM55 bagi perkhidmatan urut biasa dan RM155 bagi urutan bersama seks," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

image is not available
Seorang wanita ditahan ketika melayan lelaki di premis berkenaan. - Foto Imigresen

Tambahnya lagi, ketika serbuan dijalankan terdapat pelanggan yang sedang menunggu giliran masing-masing untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan ekoran kesemua pelayan sibuk melayan pelanggan lain.

"Menyedari kehadiran pegawai operasi kesemua wanita tersebut cuba melarikan diri dan bersembunyi di sebalik tirai serta pintu di premis terbabit, namun ketangkasan pegawai imigresen berjaya menahan kesemua mereka.

"Seramai 22 orang telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, seramai 12 orang telah ditahan melibatkan tujuh wanita warganegara China, dua wanita warganegara Thailand, seorang wanita warganegara Vietnam dan seorang wanita warganegara Indonesia," katanya.

image is not available
Premis yang dijadikan ruangan mengurut dan khidmat seks. - Foto Imigresen

Menurut Kamalludin, pihaknya turut menemukan kondom di bilik pusat terapi berkenaan dipercayai digunakan untuk melayan pelanggan yang mendapatkan khidmat seks dari wanita terlibat.

"Siasatan awal mendapati bahawa kesemua mereka telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah dan memiliki endorsmen palsu dalam pasport.

"Kita juga turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun dipercayai majikan kepada semua wanita terbabit dan lelaki berkenaan didapati melakukan kesalahan menggaji warga asing tanpa pas yang sah," katanya.