10 model Muslimah popular

Art
17 Nov 2019 • 10:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SEBAHAGIAN besar pemain industri menyifatkan kemunculan Halima Aden telah membuka pintu untuk model Muslimah lain seperti Mariah, Amina dan Kadija melebarkan sayap dalam industri fesyen antarabangsa.

Bagaimanapun, baik Halima mahupun Amina masing-masing memiliki tarikan tersendiri.

Biarpun majoriti merupakan individu dalam keturunan kulit gelap dan beragama Islam, tetapi faktor tersebut bukan menghalang untuk mereka terus menerokai bidang itu.

Ikuti ceritera 10 ikon popular berhijab dalam Personaliti Femina minggu ini.

1 Halima Aden

Masakan tidak, beliau yang dilahirkan di kem pelarian Kakuma, Kenya sebelum berpindah ke St Cloud, Minnesota, AS bersama ibunya pada tahun 2005 merupakan peserta pertama menyertai pertandingan ratu cantik Miss Minnesota 2016 dengan imej berhijab.

Biarpun hanya layak ke peringkat separuh akhir, namun aura model setinggi 166 sentimeter itu semakin bersinar apabila dipilih menjadi wanita berhijab pertama sebagai penghias muka depan majalah British Vouge.

Portfolio model yang memiliki sepasang mata berwarna coklat gelap itu bertambah cemerlang selepas menjadi pilihan jenama antarabangsa Sports Illustrated (SI) sekitar awal tahun ini. Beliau mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi peragawati Muslim pertama menghiasi kempen pakaian mandi burkini koleksi SI yang direka untuk wanita bertudung.

Siapa sangka, individu yang sebelum ini pernah menjalani zaman kanak-kanak di kem pelarian, hari ini mengatur langkah penuh bergaya dan berani dalam industri fesyen berprestij. Pemakaian tudung ataupun turban sedikitpun tidak menghalang Halima melebarkan sayapnya sebaris dengan barisan model antarabangsa.

Kini penuntut Universiti St Cloud State, AS itu bernaung di bawah agensi model, IMG Models yang turut menguruskan model-model popular. Antaranya, ialah Bella Hadid, Gigi Hadid, Gisele Bunchen, Miranda Kerr, Karlie Kloss dan Kate Moss.

2 Yuna

Pelantun lagu Dan Sebenarnya itu berkongsi detik istimewa berkenaan menerusi laman sosial Instagram @yuna pada 17 September lalu.

Bicara anak kelahiran Alor Setar, Kedah menerusi Instagram peribadinya: “

Hello dunia! Ingin saya kongsikan satu berita bersama anda bahawa wanita milik kamu kini telah menyertai @wilheminamodels!

“Siapa sangka...Kita berjaya lakukannya mak dan bersedia untuk berkhidmat”.

Secara ringkas, Wilhelmina Models merupakan agensi yang menawarkan perkhidmatan peragaan dan pengurusan bakat berpangkalan di New York, AS. Kendall Jenner, Janice Dickinson, Robyn Lawley, Anjelica Huston dan Rachel Trachtenburg antara barisan model popular bernaung di bawah agensi yang sama.

Pada bulan September lalu, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai turut memuat naik foto penampilan beliau menghadiri Minggu Fesyen New York 2019 (NYFW 2019). Kehadiran beliau sebagai memenuhi jemputan jenama fesyen seperti DKNY, Sally LaPointe, Jonathan Cohen dan Carolina Herrera.

image is not available
YUNA

3 Neelofa

"Meraikan kedatangan ratu media sosial dalam keluarga Established. Beliau @neelofa bukan sahaja menyerlah dalam media sosial, tetapi merupakan usahawan, aktres dan pengacara televisyen termasuk muncul dalam filem blockbuster, rancangan TV serta menerbitkan program sendiri.

"Adakah perkara lain yang wanita cantik Malaysia ini tidak mampu lakukan?" soal wakil Established Models yang dipetik dalam Instagram agensi terbabit.

Menariknya, pengasas tudung Naelofar itu merupakan selebriti tunggal berhijab yang menandatangani kontrak bersama Established Models.

"Saya berbangga dan teruja untuk mengumumkan bahawa kini menjadi sebahagian daripada @estmodels di London.

"Terima kasih peluang keemasan ini. Tidak sabar untuk meneroka peluang yang diberikan. Mari kita lakukannya pada tahun 2019 (tahun ini)," jelas Neelofa atau pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor menerusi Instagram.

Kata-kata Neelofa nampaknya 'berisi' apabila tahun ini jadual beliau padat dengan menghadiri Minggu Fesyen New York 2019 dan Minggu Fesyen Milan 2019 antara 4 hingga 23 September lalu.

4 Hana Tajima

Mempraktikkan stail yang minimalis, bersahaja dan trendy menyebabkan pereka kelahiran British itu sentiasa menjadi rujukan golongan wanita bertudung.

Menariknya, kreativiti Hana, 31, dalam seni rekaan fesyen bukan untuk penampilan peribadi semata-mata. Sebaliknya, beliau yang kini menetap di New York, AS, menghidangkan hasil eksperimentasi buat para wanita menerusi kerjasama dengan jenama peruncit pakaian global Jepun, Uniqlo.

5 Mariah Idrissi

Biarpun pernah dikritik pada Minggu Fesyen London kerana disifatkan tidak memiliki kepelbagaian, Mariah, 27, tidak berputus asa.

Menurut wanita berdarah Pakistan (sebelah ibu) dan Morocco (sebelah bapa itu), beliau berharap kehadirannya sebagai model beragama Islam dan berhijab dapat memberi inspirasi, sekali gus mengubah persepsi negatif khususnya mereka yang terlibat dalam industri.

"Saya berbangga memakai tudung kerana ia adalah tuntutan agama yang wajib dituruti,” tegasnya yang pernah dipilih untuk kempen Close The Look jenama H&M tahun 2015.

Terkini, beliau juga antara wajah bagi produk kecantikan Rihanna, Fenty Beauty.

6 Kadija Diawara

Bagaimanapun, beliau yang diuruskan oleh Red Model Management bukan sahaja berbakat dalam dunia peragaan, tetapi turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Neurosains.

Tutur Kadija, beliau amat meminati bidang perubatan, namun fesyen tetap menjadi keutamaan dan istimewa dalam hatinya.

7 Shahirah Yusuf

Tampak ringkas, namun ciapan Twitter pada November dua tahun lalu sudah cukup untuk menterjemahkan impian Shahirah dalam bidang peragaan.

image is not available
SYAHIRAH

Bagaikan mimpi menjadi kenyataan apabila bakat wanita kelahiran Inggeris- Somalia itu dikesan oleh Sarah Doukas, individu yang sama mengangkat Kate Moss.

Selain Elle, wajah Shahirah juga pernah terpampang dalam majalah Vogue Arabia, dan British Vogue.

8 Ikran Abdi Omar

Kemudian, beliau yang dilahirkan di Sweden muncul pula ada acara gah the Molly GoddardFW18 pada tahun sama.

Ikran yang kini menetap di Bristol telah menyertai London Booking dan tersenarai dalam Dazed 100 tahun lalu.

9 Amina Adan

Kemunculan beliau bersama Halima untuk jenama Max Mara pada Minggu Fesyen Milan 2018 mendapat pujian. Tampil mengenakan hijab bercorak harimau bintang dan blazer rona kelabu berjaya menyerlahkan penampilan yang memukau para penonton.

"Amina memiliki kecantikan tersendiri dan potensi besar sebagai model," jelas Ketua Pegawai Eksekutif Unique Models, Jacqueline Mikkelsen pada satu temu bual.

10 Ruba Zai

Wanita berketuran Belanda- Afghanistan itu begitu komited menyediakan pelbagai penggayaan tudung supaya fesyen hijab diangkat dan diterima secara global.

Nampaknya, percaturan beliau membuahkan hasil apabila baru-baru ini dilamar oleh jenama mewah, Dolce & Gabbana.

Ruba menjadi sosial influencer hijab pertama menghiasi kempen iklan jenama antarabangsa berkenaan di Belanda.