Vokalis 3 Doors Down, Brad Arnold Meninggal Dunia Selepas Bertarung Kanser Pada Usia 47 Tahun

WorldEntertainment
8 Feb 2026 • 1:33 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

Los Angeles – Dunia muzik rock antarabangsa dikejutkan dengan pemergian penyanyi utama dan penulis lagu kumpulan 3 Doors Down, Brad Arnold, yang meninggal dunia pada usia 47 tahun selepas bertarung dengan kanser.

Perkara itu diumumkan sendiri oleh kumpulan berkenaan menerusi platform X hari ini.

“Dia akan sangat dirindui dan diingati selamanya,” menurut kenyataan ringkas kumpulan tersebut.

Arnold sebelum ini mendedahkan pada Mei 2025 bahawa dirinya didiagnosis menghidap karsinoma sel jernih buah pinggang tahap empat, sejenis kanser buah pinggang agresif yang telah merebak ke paru-paru.

Bagaimanapun, penyanyi itu kekal tenang dan tabah menghadapi ujian tersebut.

“Saya tidak takut, saya benar-benar ikhlas tidak takut langsung dengannya,” katanya, sambil meluahkan rasa kecewa apabila kumpulan itu terpaksa membatalkan jelajah konsert yang dirancang.

“Saya mahu anda mendoakan saya setiap peluang diperoleh,” tambahnya lagi.

Ikon Rock Era 2000-an

Nama 3 Doors Down cukup sinonim dengan deretan lagu hits awal 2000-an seperti Kryptonite, Here Without You, When I’m Gone dan Loser yang pernah menguasai carta radio rock dan pop di seluruh dunia.

Arnold disifatkan sebagai tunjang utama yang membantu mentakrifkan semula muzik rock arus perdana menerusi gabungan elemen grunge, melodi beremosi serta lirik dekat dengan kehidupan pendengar.

Menariknya, lagu Kryptonite yang melonjakkan nama kumpulan itu ditulis Arnold ketika berusia 15 tahun semasa berada dalam kelas matematik.

Kumpulan yang berasal dari Mississippi itu ditubuhkan pada pertengahan 1990-an dan pernah mencatat pelbagai kejayaan termasuk memenangi tiga Anugerah Muzik Billboard.

Album sulung mereka, The Better Life, turut muncul sebagai album ke-11 paling laris pada era tersebut.

Sebelum ini, kumpulan itu juga kehilangan seorang lagi ahli pengasas, Matt Roberts, yang meninggal dunia pada 2016 pada usia 38 tahun.

Dalam kalangan keluarga dan rakan terdekat, Arnold dikenang bukan sahaja atas bakat muziknya, malah sifat mesra, rendah hati, kuat pegangan iman serta kasih sayang mendalam terhadap insan sekeliling.

Beliau meninggalkan isterinya, Jennifer.

Pemergiannya sekali gus menutup satu lagi bab penting dalam sejarah muzik rock generasi 2000-an. – The Malaysian Update

The post Vokalis 3 Doors Down, Brad Arnold Meninggal Dunia Selepas Bertarung Kanser Pada Usia 47 Tahun appeared first on The Malaysian Update.