
Volatiliti pasaran merujuk kepada sejauh mana harga sesuatu aset berubah naik atau turun dalam tempoh tertentu.
Dalam pasaran saham, harga tidak sentiasa bergerak secara stabil kerana ia dipengaruhi oleh emosi, jangkaan dan tindakan pelabur.
Apabila sentimen pelabur berubah dengan cepat, harga saham juga boleh mengalami pergerakan yang besar dalam masa singkat.
Sebagai contoh, pada satu hari pelabur mungkin yakin bahawa ekonomi sedang berkembang dan mula membeli saham secara besar-besaran.
Namun, apabila muncul berita negatif pada keesokan harinya, mereka boleh menjadi panik dan menjual pegangan mereka.
Perubahan keyakinan dan ketakutan ini menyebabkan harga saham bergerak naik dan turun dengan lebih ketara. Semakin besar perubahan emosi pelabur, semakin tinggi tahap volatiliti pasaran.
Untuk memahami konsep ini dengan mudah, bayangkan terdapat dua jenis saham. Saham “penyu” bergerak secara perlahan seperti harga RM100 pada Isnin, RM101 pada Selasa dan RM99 pada Rabu.
Perubahan harga kecil ini menunjukkan saham tersebut lebih stabil. Sebaliknya, saham “monyet” bergerak lebih liar, contohnya daripada RM100 pada Isnin, naik kepada RM101 pada Selasa dan jatuh kepada RM70 pada Rabu.
Saham ini mempunyai tahap volatiliti yang lebih tinggi kerana perubahan harganya sukar dijangka.
Beberapa faktor boleh menyebabkan berlakunya volatiliti pasaran, termasuk berita penting, laporan prestasi syarikat, ketakutan pelabur, keterujaan pasaran serta tindakan pelabur yang mengikut keputusan orang lain.
Walaupun tidak semua rakyat melabur dalam saham, volatiliti pasaran tetap memberi kesan secara tidak langsung kepada kehidupan harian.
Keadaan pasaran yang tidak menentu boleh mempengaruhi sentimen ekonomi, keputusan pelaburan syarikat, peluang pekerjaan dan keyakinan pengguna untuk berbelanja.
Oleh itu, memahami konsep volatiliti membantu rakyat melihat mengapa pasaran kewangan sering berubah dengan begitu pantas.
Pelabur biasanya mengukur tahap volatiliti menggunakan beberapa indikator seperti VIX atau ‘fear index’, sisihan piawai (standard deviation), dan Average True Range (ATR).
Secara ringkasnya, semakin tinggi bacaan indikator ini, semakin besar perubahan harga yang berlaku dalam pasaran.
Memahami volatiliti membantu pelabur membuat keputusan dengan lebih baik dan bersedia menghadapi risiko perubahan pasaran.






