
Sebuah kerusi pejabat berteknologi tinggi yang boleh dipandu pada kelajuan 20 kmj dicipta oleh sepasukan pereka dan jurutera syarikat pengeluar kenderaan, Volkswagen, lapor Oddity Central.
Pengeluar kereta Jerman itu mereka bentuk dan membina kerusi pejabat berkenaan dengan motor serta sistem kawalan yang membolehkan pengguna memandunya pada kelajuan tertinggi yang ditetapkan.
Difahamkan, matlamat utama projek unik itu adalah untuk menawarkan beberapa ciri yang terdapat dalam kereta Volkswagen yang digunakan membentuk kerusi pejabat tersebut.
Pasukan tersebut bukan sahaja berjaya memasukkan elemen motor sebenar dan kawalan pemanduan, malah tali pinggang keledar, hon, pembesar suara dan juga rim kecil untuk roda turut terbina bagi membentuk kerusi berteknologi tinggi itu.

Kerusi itu juga dilengkapi dengan sistem deria pencegahan pelanggaran 360 darjah, kamera sandaran, paparan skrin sentuh, lampu diod pemancar cahaya (LED), ruang pengecasan USB, poket kecil untuk menyimpan dokumen serta logo Volkswagen pada penyandar kepala.
Dalam pada itu, kerusi tersebut turut disertakan dengan bateri yang boleh ditukar serta menawarkan jarak pemanduan sekitar 12 km untuk sekali cas.
Kerusi berteknologi tinggi itu merupakan keluaran edisi terhad yang direka untuk menyerlahkan semua ciri yang kadangkala dipandang remeh oleh pemandu.
Syarikat itu berkata kerusi tersebut akan tersedia untuk dipandu uji di pelbagai lokasi dalam masa terdekat.
Sumber: Oddity Central
The post Volkswagen Cipta Kerusi Pejabat Boleh Dipandu Dengan Kelajuan 20 Kmj appeared first on Siakap Keli.
