
Khabar angin mengenai kemungkinan Ducati dijual kembali menjadi perhatian selepas Volkswagen (VW) dilaporkan sedang menilai semula beberapa asetnya sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula syarikat.
Spekulasi ini semakin hangat apabila jurucakap Volkswagen tidak menafikan laporan tersebut. Sebaliknya, beliau hanya menyatakan bahawa “semua pilihan masih berada di atas meja”, sekali gus memberi bayangan bahawa penjualan Ducati merupakan antara pilihan yang boleh dipertimbangkan sekiranya diperlukan.
Langkah itu dikatakan berkait rapat dengan cabaran yang sedang dihadapi Volkswagen ketika ini. Pengeluar automotif terbesar Eropah itu berdepan tekanan daripada tarif Amerika Syarikat, margin keuntungan kenderaan elektrik yang semakin mengecil serta persaingan sengit di pasaran China yang memberi kesan kepada prestasi kewangan syarikat.
Pada masa sama, Volkswagen juga sedang melaksanakan pelan penstrukturan besar-besaran yang menyaksikan puluhan ribu pekerja bakal dikurangkan menjelang 2030. Laporan media Jerman turut mendakwa syarikat itu sedang mempertimbangkan pengurangan sehingga 100,000 tenaga kerja di seluruh dunia selain kemungkinan menutup beberapa kilang di Jerman.
Walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat mengenai Ducati, perkembangan ini mencetuskan pelbagai spekulasi dalam industri automotif dan permotoran. Ducati ketika ini masih dimiliki oleh Volkswagen menerusi Audi, namun masa depan jenama Itali itu terus menjadi tanda tanya sekiranya kumpulan Volkswagen memutuskan untuk melepaskan beberapa aset strategiknya.
The post Volkswagen Dilapor Pertimbang Jual Ducati Dalam Pelan Penstrukturan Semula Global appeared first on TW Media.




