johardy15/09/2026 - 09:19 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Sept - Volvo Car Malaysia melancarkan Volvo EX30 Cross Country, model Cross Country elektrik sepenuhnya pertama syarikat itu yang direka untuk pemanduan di bandar serta perjalanan di laluan dan permukaan jalan lebih mencabar.
Model pemasangan tempatan itu ditawarkan pada harga bermula RM218,888 tanpa insurans dan boleh didapati di semua pengedar sah Volvo di seluruh negara mulai sekarang.
EX30 Cross Country mengekalkan ciri utama EX30 tetapi menerima beberapa penambahbaikan khusus bagi varian Cross Country, termasuk reka bentuk casis termaju dan kelegaan tanah 19 milimeter (mm) lebih tinggi berbanding model asas EX30.
Ia menggunakan sistem pacuan semua roda dwi-motor yang menghasilkan kuasa 428hp dan tork 543Nm, membolehkannya memecut dari sifar hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 3.7 saat.


Pengarah Urusan Volvo Cars Malaysia dan Thailand, Chris Wailes berkata, Malaysia menawarkan pelbagai pengalaman daripada kehidupan bandar hingga aktiviti luar yang boleh dinikmati hanya dalam perjalanan beberapa jam.
“Daripada percutian hujung minggu hingga pengembaraan di bandar, EX30 Cross Country bukan sekadar sebuah kereta tetapi pengalaman menyeluruh bagi mereka yang mahukan kebebasan untuk meneroka dan keyakinan untuk pergi ke mana-mana,” katanya.
Model Cross Country pertama Volvo diperkenalkan pada 1997 dan direka khusus untuk menghadapi keadaan iklim Scandinavia yang mencabar.
Sejak itu, model Cross Country Volvo diuji dalam pelbagai keadaan jalan termasuk permukaan basah, kawasan kasar, lebuh raya serta laluan berlumpur.
Jarak pemanduan sehingga 437km
Sebagai SUV kompak, EX30 Cross Country dilengkapi sistem pemantauan persekitaran 360 darjah menerusi radar pada setiap penjuru serta beberapa sensor bagi membantu pemandu bergerak di lebuh raya mahupun ruang yang sempit.
Model itu menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 437km dan tidak menghasilkan pelepasan daripada paip ekzos.
Pek bateri NMC berkapasiti 69kWh boleh dicas daripada 10% hingga 80% dalam tempoh 27 minit menggunakan pengecas pantas DC 175kW.
Selain kelegaan tanah tambahan 19mm, EX30 Cross Country dilengkapi roda lima jejari 19 inci dan reka bentuk casis termaju bagi menyerap gangguan permukaan jalan dengan lebih baik, sekali gus meningkatkan keselesaan dan kestabilan di kawasan lebih mencabar.
Perisian stereng turut ditala bagi mengoptimumkan pembentukan tork stereng, fungsi pengembalian aktif dan redaman untuk memberikan kawalan lebih baik ketika melalui selekoh sempit serta hubungan lebih baik dengan permukaan jalan.

Teknologi keselamatan terkini Volvo
Berlandaskan pencapaian EX30 sebagai kereta Volvo paling lestari setakat ini, varian Cross Country meneruskan penggunaan bahan semula jadi dan dihasilkan secara bertanggungjawab.
Antaranya termasuk tekstil denim kitar semula dan upholsteri Nordico berasaskan bahan bio.
Sebagai kenderaan elektrik sepenuhnya tanpa pelepasan daripada paip ekzos, EX30 Cross Country mempunyai jejak karbon yang rendah.
Model itu turut dilengkapi Safe Space Technology terkini Volvo dan sistem bantuan pemanduan termaju.
Teknologi keselamatannya merangkumi bantuan brek dan stereng untuk mengelakkan perlanggaran, sistem pintar Driver Understanding serta generasi baharu Pilot Assist dan Park Pilot Assist.

Rekaan Cross Country lebih lasak
EX30 Cross Country menampilkan reka bentuk Scandinavia minimalis dengan kemasan hitam kusam dan Vapour Grey serta perincian khusus Cross Country.
Antaranya ialah pelindung bawah Vapour Grey berkilat rendah, bampar bawah hitam kusam dan sambungan gerbang roda.
Nama Cross Country pada tiang C serta logo CC timbul di bahagian belakang dengan rekaan pelindung belakang berkilat rendah melengkapkan penampilan model berkenaan.
Ruang dalaman pula mengambil inspirasi daripada warna indigo dan biru tua langit malam serta rona ungu pada penghujung matahari terbenam.
Ia menggunakan tekstil tenunan berwarna arang yang dipadankan dengan upholsteri Nordico, panel hiasan denim dan panel lubang udara berwarna biru.
Bumbung panoramik dengan pelindung matahari membolehkan cahaya semula jadi memasuki ruang kabin.
Sistem infotainmen EX30 Cross Country dilengkapi Google Services terbina dalam termasuk Google Assistant, Google Maps serta pelbagai aplikasi menerusi Google Play Store yang boleh diakses melalui skrin tengah 12.3 inci.
Ia turut dilengkapi sistem bunyi premium Harman Kardon serta sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto.

Ruang bagasi sehingga 718 liter
EX30 Cross Country mengekalkan penyelesaian penyimpanan pintar yang menjadi antara ciri utama EX30.
Ruang penyimpanan besar ditempatkan pada pintu selepas pembesar suara dipindahkan ke papan pemuka dalam bentuk soundbar.
Ruang penyimpanan tengah yang fleksibel antara pemandu dan penumpang hadapan cukup besar untuk memuatkan beg tangan, manakala kotak belakang boleh tanggal di bawah tempat letak tangan tengah menyediakan ruang tambahan dan boleh digunakan sebagai tong sampah.
Ruang bagasi belakang berkapasiti 318 liter apabila semua tempat duduk digunakan dan meningkat kepada 718 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat sepenuhnya.
Grafik ‘Will it Fit’ pada pintu belakang berkuasa pula memberikan contoh barangan yang boleh dimuatkan.
Pemilik juga boleh memilih pelbagai aksesori mengikut gaya hidup dan aktiviti masing-masing termasuk pelindung lumpur, pembawa muatan, rak basikal dan bakul bumbung.

Rebat RM12,000 untuk 100 tempahan pertama
EX30 Cross Country ditawarkan dalam tiga warna luaran iaitu Crystal White, Vapour Grey dan Cloud Blue.
Bagi 100 tempahan pertama, Volvo Car Malaysia menawarkan pakej pelancaran merangkumi rebat tunai RM12,000 serta Volvo Wallbox percuma bernilai RM3,990.
Pakej itu turut merangkumi Load Carrier bernilai RM2,098 dan Roof Basket bernilai RM3,680.
Volvo Car Malaysia turut mengumumkan kemas kini bagi EX30 Ultra untuk model tahun 2027 (MY27), yang kini ditawarkan pada harga lebih kompetitif bermula RM198,888 tanpa insurans.
EX30 Ultra ditawarkan dalam empat warna luaran iaitu Crystal White, Vapour Grey, Cloud Blue dan Onyx Black.

Tempahan servis secara digital
Pelancaran EX30 Cross Country turut menandakan pengenalan Digital Service Booking (DSB) oleh Volvo Car Malaysia.
Perkhidmatan itu membolehkan pelanggan menjadualkan janji temu servis menerusi laman web Volvo Car Malaysia atau aplikasi Volvo Cars.
Menurut syarikat itu, platform berkenaan direka untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lebih mudah dan peribadi serta menawarkan fleksibiliti dan akses lebih baik ketika membuat tempahan perkhidmatan selepas jualan.
DSB kini ditawarkan oleh peruncit sah Volvo di Lembah Klang dan dirancang diperluaskan kepada peruncit sah di wilayah lain di seluruh Malaysia. - DagangNews.com

