VS Industry catat untung bersih RM30.6 juta pada 1QFY2026 disokong pesanan kukuh, pengeluaran model baharu

LocalBusiness & Finance
4 Dec 2025 • 6:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

VS Industry catat untung bersih RM30.6 juta pada 1QFY2026 disokong pesanan kukuh, pengeluaran model baharu
image is not available
liza04/12/2025 - 18:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Dis – VS Industry Berhad, pengeluar komponen elektronik mencatatkan untung bersih RM30.6 juta pada suku pertama berakhir 31 Oktober 2025 (1QFY2026), hampir sama dengan RM30.6 juta yang direkodkan pada tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, ia mencatat hasil sebanyak RM1.08 bilion, menurun 2.9% berbanding RM1.11 bilion sebelumnya, dipengaruhi prestasi lebih perlahan di Indonesia. 

 

“Namun keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM48.8 juta daripada RM43.7 juta.

 

“Segmen Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar dengan perolehan RM1 bilion dan keuntungan sebelum cukai RM46.3 juta.

 

“Operasi Filipina turut mencatat prestasi lebih baik selari peningkatan utiliti kilang serta penambahan kemampuan huluan seperti cetakan plastik dan pemasangan papan litar bercetak (PCB),” katanya dalam makluman tersebut.

 

VSI memaklumkan bahawa aliran tempahan bertambah baik pada suku pertama, dengan beberapa model baharu pelanggan sedia ada telah memasuki pengeluaran berskala besar dengan konsisten.

 

“Lebih banyak model baharu dijangka menyusul dalam tempoh akan datang. Syarikat juga telah mempunyai pelanggan baharu dengan operasi pengeluaran akan bermula tidak lama lagi,” katanya.

 

Walaupun suasana global kekal mencabar, pemotongan kadar faedah di Amerika Syarikat memberi sedikit rangsangan kepada sentimen permintaan. 

 

Bagi risiko pertukaran mata wang, syarikat menjangkakan impaknya terkawal melalui lindung nilai semula jadi, memandangkan sebahagian hasil dan pembelian komponen dilakukan dalam AS$.

 

Pada akhir suku, syarikat berada dalam kedudukan tunai sihat iaitu RM752.6 juta meskipun mencatat aliran keluar bersih daripada aktiviti pembiayaan susulan pembayaran balik pinjaman dan pembelian semula saham berjumlah RM10.7 juta.

 

Lembaga Pengarah turut mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 0.4 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2026, sama seperti tempoh sebelumnya.

 

Melangkah ke hadapan, VSI kekal berhati-hati namun optimis untuk mencatat prestasi lebih baik dalam FY2026, didorong pesanan pelanggan yang semakin stabil, peningkatan kecekapan operasi serta kedudukan kewangan yang kukuh. - DagangNews.com

Terkini standard