
TEHRAN – Gara-gara memiliki raut wajah yang seiras dengan bekas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, seorang peniaga di ibu kota Iran kini terpaksa berdepan kesukaran apabila premis perniagaannya diboikot oleh para pelanggan, lapor saluran berita SAMAA.
Peniaga yang menjual buah-buahan kering dan manisan tradisional itu dilaporkan mengalami kerugian yang ketara selain tekanan emosi yang berpanjangan selepas kedainya sunyi daripada pengunjung.
Persamaan luar biasa itu mula tular di media sosial baru-baru ini menerusi satu rakaman video pendek yang diambil di kedainya, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi serta perbandingan dalam kalangan warga maya tempatan.
Bagaimanapun, populariti segera di alam maya itu membawa padah kepada mata pencariannya.
Sejak video berkenaan tersebar luas, pelanggan mula mengelak daripada menjejakkan kaki ke premisnya atau membeli sebarang barangan jualan kerana terkesan dengan persamaan rupa paras tersebut.
Bercakap kepada media tempatan mengenai nasib yang menimpanya, peniaga terbabit mengakui mengalami gangguan mental dan tekanan kewangan yang teruk akibat rupa fizikalnya yang secara tidak sengaja menyerupai Netanyahu.
“Pelanggan kini langsung tidak lagi datang ke kedai saya,” katanya sambil menyifatkan situasi berkenaan amat meresahkan dan menjejaskan punca pendapatannya sekeluarga. – AGENSI
The post Wajah seiras Netanyahu, peniaga di Tehran diboikot pelanggan appeared first on Kosmo Online.
