
Secara ringkasnya, terdapat pelbagai jenis zakat namun yang sinonim ketika bulan Ramadan adalah zakat fitrah.
Ia merupakan zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
Selain diri sendiri, seseorang itu bertanggungjawab membayar zakat fitrah bagi individu di bawah tanggungannya seperti isteri dan anak-anak.
Namun, pernah tak korang terfikir bagaimana pula bayi di dalam kandungan ibu ketika di bulan puasa? Adakah seseorang itu perlu membayar zakat buat bayi berkenaan?
Baca Artikel Berkaitan: Bila Waktu Terbaik Bayar Zakat Fitrah & Apa Perlu Buat Jika Terlepas Menunaikannya?
Tidak Wajib Bayar Zakat Buat Bayi Dalam Kandungan
Merujuk laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, zakat fitrah bagi bayi yang masih berada dalam kandungan adalah tidak wajib.
Malah, si bapa juga tidak wajib membayarkan zakat bagi pihak bayi tersebut.
“Imam Al-Nawawi ketika mengulas berkenaan dengan isu adakah bayi yang berada di dalam kandungan wajib ke atasnya zakat fitrah beliau menyebut bahawa tiada zakat fitrah bagi bayi yang masih di dalam kandungan.
“Begitu juga tidak wajib bagi bapanya untuk membayarkan bagi pihaknya. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 6/139). Ini juga merupakan pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Ramli dan kebanyakan ulama bermazhab syafi’i,” jelas mereka.
Perkara sama turut dijelaskan oleh penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dalam satu video di YouTube.
Namun, beliau menjelaskan perbuatan itu adalah sunat sekiranya dilakukan.
“Sunat, tidak wajib,” jelasnya.
Bila Wajib Bayar Zakat Buat Bayi?
Namun, bagaimana pula dengan bayi yang baru lahir pada bulan Ramadan?
Terang UAI, seseorang itu diwajibkan membayar zakat untuk bayi yang baru lahir bergantung pada waktu tertentu.
“Anak (bayi) lahir pada malam raya (selepas terbenamnya matahari), tidak wajib bayar zakat fitrah. Anak lahir pada bulan Ramadan, wajib bayar zakat fitrah.
“Contoh kita sekarang sedang berpuasa, esok 30 Ramadan. Bini (Isteri) kita bersalin sebelum Maghrib, wajib (zakat) fitrah kerana dia sudah merasai hidup pada Ramadan sekejap dan Syawal.
“Tapi kalau malam raya dia (isteri) bersalin, hukumnya tidak wajib bayar zakat fitrah, kerana anak kita tidak sempat ada di dunia dalam bulan Ramadan.
“Orang yang dapat Ramadan dan Syawal, wajib fitrah. Begitu juga dengan orang yang meninggal, mati sebelum 1 Syawal, tidak wajib fitrah, mati malam raya, wajib fitrah kerana dia sempat hidup pada bulan Ramadan dan sempat hidup sekejap pada bulan Syawal,” jelasnya.
Kadar Zakat Fitrah
Untuk info, kadar fitrah adalah satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.60 kilogram atau senilai dengannya.
Lazimnya, ia berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.
Contohnya MAIWP, kadar zakat fitrah ditetapkan RM8 bagi mereka yang menggunakan beras tempatan, RM15 pengguna beras super import dan RM25 bagi beras basmati atau setara.
Manakala, di Selangor, RM8 bagi pengguna beras tempatan dan beras putih import, RM16 bagi mereka yang menggunakan beras wangi, beras pulut, beras rebus dan beras perang serta RM25 bagi Beras Herba Ponni, Beras Jepun (Calrose), Beras Basmathi, Beras Merah & Beras Hitam.
Baca Artikel Berkaitan: “Jangan Memandai” – UAI Jelaskan Anak Tak Boleh Bayar Zakat Fitrah Ibu Ayah Tanpa Minta Izin [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Makan Beras Mahal Tapi Bayar Beras Murah, Tak Sah Zakat Fitrah – Ustaz Azhar Idrus [Video]



