
SHAH ALAM - Tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) mewajibkan pengusaha premis makanan dan minuman (F&B) memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) antara usaha promosi bagi meningkatkan bilangan pemegang sijil di lokasi berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, bagaimanapun mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September lalu bersetuju untuk mengekalkan dasar sedia ada bahawa permohonan SPHM yang dilaksanakan pihaknya bersama majlis atau jabatan agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) adalah bersifat sukarela.
Jelas beliau, dasar itu terbuka kepada mana-mana pihak yang bersedia mematuhi semua keperluan, piawaian dan standard pensijilan halal serta perundangan, malah ia mampu memberikan nilai tambah buat pemegang sijil.
"Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] memperuntukkan di bawah seksyen 28 dan 29 mengenai pewujudan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 serta Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
"Perintah ini dikuatkuasakan bagi mengawal semua perkara berkaitan halal di negara ini. Perenggan Tiga Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 memberi kuasa kepada Jakim dan MAIN/JAIN untuk memperakui makanan, barang atau perkhidmatan yang berkaitan adalah halal.
"Ia masih bersifat sukarela dan terbuka. Tidak ada undang-undang yang mewajibkan mana-mana pihak untuk memohon pensijilan halal," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa kerajaan Kelantan mempertimbangkan semula keputusan mewajibkan pensijilan halal dalam kalangan pengusaha F&B di negeri itu.
Presidennya, Datuk William Ng memaklumkan, kerajaan Kelantan sebaliknya perlu bekerjasama dengan pengusaha F&B untuk mempromosikan pensijilan halal, memperkemas dan mengurangkan beban atau kos bagi mendapatkan sijil tersebut.
Menurut beliau, pensijilan halal tidak sepatutnya diwajibkan kerana ia hanya meningkatkan beban dan kos tambahan kepada perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta peniaga kecil.
Beliau turut mendakwa, proses pensijilan boleh mencecah sehingga RM200,000 untuk setiap premis jika pengubahsuaian diperlukan dan RM50,000 setahun sekiranya seorang penyelaras halal dilantik, belum termasuk kos latihan pekerja baharu atau sedia ada.
Ujarnya, restoran yang mempunyai banyak cawangan mungkin mampu mematuhi peraturan ketat itu dan mendapat faedah pensijilan halal tetapi tidak buat peniaga kecil sama ada Islam atau bukan Islam.
Sirajuddin memberitahu, pihaknya sentiasa aktif dalam menggalakkan pengusaha memohon SPHM sambil menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai agensi pembimbing di peringkat persekutuan dan negeri.
Tambah beliau, sebagai pemegang SPHM, sijil akan memberi jaminan kualiti kepada produk atau perkhidmatan yang dikeluarkan dan nilai tambah buat perniagaan dalam memperluaskan pasaran.
"Jakim berharap agar penjelasan yang tuntas dan menyeluruh dapat diberikan oleh PBT berkaitan pelaksanaan dasar baharu ini bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan pengusaha atau orang ramai," ujarnya lagi.


