Wakaf Transit UMK Perkukuh Agenda Wakaf Pendidikan, Beri Manfaat Komuniti Sekitar 

LocalBusiness & Finance
26 Jan 2026 • 3:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Kejayaan projek Wakaf Transit Universiti Malaysia Kelantan (UMK) diyakini mampu membentuk impak wakaf yang besar dan lestari.

Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Ts. Dr. Arham Abdullah berkata, projek wakaf pendidikan sulung itu dibangunkan hasil kerjasama strategik antara UMK serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Menurut beliau, Wakaf Transit UMK juga adalah manifestasi awal kepada pelaksanaan Wakaf Pendidikan MAIK–UMK.

“UMK telah dilantik sebagai mutawalli (pemegang amanah) bagi mengurus dan membangunkan wakaf pendidikan secara telus, berintegriti dan berimpak. 

“Projek ini dibangunkan sebagai kemudahan transit yang memberi manfaat langsung kepada warga universiti dan masyarakat sekitar Kampus Bachok, Kelantan,” katanya.

image is not available
Dr Arham Abdullah - Gambar UMK

Getaran diberitahu, perasmian wakaf transit berkenaan telah disempurnakan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Mohd Anis Hussein, sebagai simbol sokongan berterusan institusi di bawah naungan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V terhadap agenda pemerkasaan wakaf pendidikan di institusi pengajian tinggi.

Arham menarik perhatian, kos pembinaan Wakaf Transit UMK tersebut berjaya direalisasikan hasil sumbangan ikhlas dan konsisten staf serta pelajar UMK sejak 2022, termasuk melalui potongan gaji bulanan secara sukarela dan wakaf tunai. 

“Wakaf Transit UMK bukan sekadar sebuah prasarana fizikal, sebaliknya melambangkan semangat kebersamaan warga universiti dalam membina legasi wakaf pendidikan berteraskan nilai ‘UMK Satu Hati, Satu Jiwa’.,

“Usaha pengumpulan dana wakaf masih diteruskan bagi merealisasikan pembinaan Wakaf Transit di Kampus Jeli sebagai kesinambungan kepada agenda wakaf universiti,” katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi harapan UMK agar komuniti setempat dapat memastikan kelestarian pembangunan wakaf pendidikan di semua kampus universiti terbabit. 

“UMK selepas perasmian turut mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Wakaf Universiti (JWU) di Kampus Bachok. 

“Mesyuarat ini menjadi platform rasmi bagi membincangkan hala tuju, perancangan strategik serta pengukuhan tadbir urus wakaf universiti agar selaras dengan ketetapan MAIK dan keperluan kelestarian wakaf pendidikan,” katanya. 

image is not available
Mohd Anis Hussein - Gambar UMK

UMK jelas Arham lagi, komited untuk terus memperkukuh ekosistem wakaf universiti melalui penglibatan aktif warga kampus dan kerjasama berterusan bersama MAIK, dengan aspirasi menjadikan wakaf sebagai instrumen utama pembangunan pendidikan serta kebajikan ummah.

“UMK turut mengalu-alukan penglibatan serta kerjasama strategik daripada mana-mana industri, agensi, syarikat korporat dan individu yang berminat untuk bersama-sama menyumbang serta memperkukuh agenda wakaf pendidikan universiti. 

“Kami amat menggalakkan mana-mana pihak yang ingin menjalinkan kolaborasi, menyalurkan sumbangan atau melaksanakan program berimpak melalui wakaf universiti agar menghubungi UMK untuk perbincangan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan,Timbalan Pengarah Bahagian Pendanaan (Pusat Kewangan Lestari UMK), Dr. Mohd Afifie Mohd Alwi berkata, wakaf transit ini terdapat beberapa kemudahan penting seperti hentian bas.

Katanya, ia turut menempatkan kiosk keusahawanan pelajar dan panel solar untuk tenaga hijau.

"Sebarang pertanyaan dan cadangan kerjasama katanya, boleh dikemukakan dengan menghubungi Sekretariat Wakaf UMK melalui emel wakaf.cfs@umk.edu.my.

“Ini bagi memastikan pelaksanaan inisiatif wakaf pendidikan itu dapat diperluaskan secara berterusan demi manfaat warga kampus dan masyarakat,” katanya. - Getaran, 26 Januari 2026