
KUALA LUMPUR: Qariah negara, Nur Syakura Mohamad Musa muncul johan kategori tilawah wanita pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 tahun 2026.
Nur Syakura meraih markah 91.83 peratus, mengatasi peserta Singapura, A’tii Qah Suhaimi yang menduduki tempat kedua dengan 91 peratus.
Tempat ketiga diraih qariah Brunei, Dayangku Siti Ummi Syazana Pengiran Haji Marjuki dengan markah 90.83 peratus.
Kemenangan itu membolehkan Nur Syakura menerima wang tunai RM40,000, sebuah trofi, pakej umrah bernilai RM10,000 sumbangan Tabung Haji Travel and Services serta set bar emas bernilai RM3,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Bagi kategori tilawah lelaki, peserta Indonesia, Muhammad Fauji Ridwan muncul johan dengan markah 94.67 peratus.
Qari Malaysia, Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali pula meraih tempat kedua dengan 92.99 peratus, diikuti peserta Belgium, Brahim Boughalab di tempat ketiga dengan 92.17 peratus.
Bagi kategori hafazan lelaki, Ehtishamul Hoque Hira dari Bangladesh dinobatkan johan, manakala Abdul Rahman Jamal Ibrahim dari Syria menduduki tempat kedua, dengan kedua-duanya mencatatkan markah 97 peratus.
Wakil Malaysia, Muhammad Izzul Afnan Sazali meraih tempat ketiga dengan markah 96.33 peratus.
Kategori hafazan wanita pula menyaksikan Chafaatou Issoufou dari Niger muncul johan dengan markah 96.17 peratus, diikuti Minnah Ali Alsoudani Aghnayah dari Libya dengan 95.50 peratus.
Tempat ketiga diraih Thein Gi Mon dari Myanmar dengan 95 peratus, manakala wakil negara, Dina Hadfina Mohd Umarul Hisyam berada di tempat keempat dengan 92.50 peratus.
Johan kategori hafazan menerima wang tunai RM40,000, sebuah trofi, pakej umrah atau pelancongan Muslim bernilai RM5,000 serta set bar emas bernilai RM3,000 sumbangan YaPEIM.
Pemenang tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori masing-masing menerima wang tunai RM30,000 serta RM20,000 berserta trofi, manakala peserta lain menerima wang saguhati RM3,000. – UTUSAN
The post Wakil Malaysia Nur Syakura johan kategori tilawah wanita MTHQA appeared first on Utusan Malaysia.






