Wakil Rakyat BN Perlu Berhenti Main Politik Kotor

Politics
21 Nov 2022 • 11:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Saudara Pengarang

Saya selaku Ketua Bahagian UMNO Pulai suka menegaskan kepada semua wakil rakyat daripada BN, terutamanya mereka yang mendesak Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, untuk berhenti bermain politik kotor dan memanipulasi ahli-ahli parti dan khususnya rakyat yang telah mengundi pada PRU-15.

Seperti yang diingatkan oleh Presiden parti semalam, kesemua Ahli Parlimen yang memenangi PRU telah menandatangani akujanji dan memberi mandat kepada beliau selaku Presiden untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan Kerajaan.

Dalam kenyataan semalam, Presiden BN juga menegaskan bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan dilepaskan keahlian termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang anti-lompat parti.

Dengan itu, saya menganggap bahawa Ahli-Ahli Parlimen BN yang bertentangan dengan Presiden mengenai perkara ini secara terbuka sebenarnya ingin dipecat dari parti dengan sengaja supaya mereka dapat menjadi ahli-ahli Parlimen bebas, dan supaya mereka dapat memberi sokongan kepada calon-calon Perdana Menteri yang bukan didokongi BN.

Saya juga mendesak ahli-ahli Parlimen BN ini supaya meletak jawatan sekiranya mereka ikhlas dalam perjuangan politik mereka, dan demi kepentingan dan hala tuju UMNO dan Barisan Nasional.

Saya sendiri telah menandatangani akujanji yang sama bahawa kerusi yang dimenangi adalah milik parti dan bukan individu. 

Saya juga ingin mengingatkan bahawa mereka yang terpilih kerana BN juga belum sah mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.- Getaran, 21 November 2022

Penulis,  Datuk Nur Jazlan Mohamed ialah Ketua UMNO Bahagian Pulai