
SHAH ALAM, 23 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa bakal menganjur program utama sepanjang tahun ini bagi mendekati masyarakat setempat.
Dr G Gunaraj berkata antara program ialah ziarah amal, lawatan ke rumah kebajikan warga emas dan kanak-kanak serta jamuan rumah terbuka yang merupakan acara tradisi setiap tahun.
“Menerusi program ini, kita juga boleh mengetahui masalah dihadapi rakyat. Ini dapat membantu mereka selain menyediakan keperluan dan kemudahan lebih baik,” katanya kepada Selangorkini.
Sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut bulan depan, Gunaraj akan mengagihkan 450 baucar bernilai RM200 kepada golongan memerlukan.
Jelasnya, baucar pemberian Kerajaan Negeri itu sebagai usaha meringankan beban penerima dalam menyediakan kelengkapan raya.
“Semoga usaha ini dapat memeriahkan raya mereka. Kita tidak mahu ada rakyat terpinggir dan semua layak bergembira pada perayaan ini,” katanya yang turut mengadakan makan malam bersama ketua komuniti Cina.
Tahun ini sebanyak RM16.48 juta disediakan bagi baucar Jom Shopping Raya meliputi 82,400 penerima dengan 23,900 ketika sambutan Tahun Baharu Cina selebihnya untuk Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.
Inisiatif diperkenalkan Kerajaan Negeri yang menyasar golongan berpendapatan rendah sebagai inisiatif jangka panjang bagi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
The post Wakil rakyat Sentosa teruskan tradisi anjur program masyarakat appeared first on Selangorkini.

