Waktu Terbaik Untuk Sarapan, Makan Tengahari Dan Makan Malam

Health & Fitness
20 Jun 2022 • 6:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar freepik

Menjalani rutin harian yang berlarian ke sana sini, membuatkan ramai di antara kita agak payah untuk mengamalkan pemakanan yang sihat. Hendak pastikan diet harian punya segala jenis kategori makanan itu amat payah.

Hendak menjaga waktu makan juga satu perjuangan. Walaupun perut meminta-minta untuk diisi, namun ada sahaja perkara yang membuatkan ia tertangguh-tangguh.  

Makan pada waktu yang sesuai sebenarnya boleh memberikan banyak manfaat. Ia boleh membantu anda mengekalkan berat badan yang sihat, mengekalkan tenaga dan mungkin juga melawan penyakit. Tetapi bagaimana anda menentukan masa yang sesuai?

image is not available
Gambar Unsplash

Sarapan jangan melebihi jam 10 pagi

Jangan sesekali meninggalkan sarapan pagi. Hidangan ini paling penting kerana ia adalah penentu corak gula dalam darah untuk sepanjang hari. Hidangan pertama ini paling bagus diambil pada jam pertama selepas bangun pagi supaya tubuh badan bersedia untuk menjalani pelbagai aktiviti di sepanjang hari. 

Jika pagi anda terlalu sibuk, pastikan sarapan sebelum melepasi jam 10 pagi. Apa yang anda makan ketika sarapan pagi mempunyai kesan yang besar pada sepanjang hari.

Jika anda ingin elakkan lonjakan gula dalam darah, pilihlah sarapan pagi yang sihat seperti gabungan minuman protein, bijiran sarapan serat tinggi atau roti bakar gandum penuh dengan mentega kacang dan strawberi.

image is not available
Gambar pexels

Makan tengahari jangan lewat dari jam 2 petang

Setiap hari, metabolisme badan akan berada di tahap tertinggi di antara jam 10 pagi dan 2 petang. Jadi, ini adalah waktu terbaik untuk anda menikmati hidangan makan tengahari kerana fungsi sistem penghadaman lebih kuat pada masa ini.

Hidangan tengah hari yang sihat dan tahan lama hendaklah berasaskan bijirin penuh seperti wrap, roti pita, pasta bijirin penuh, nasi atau mi. Masukkan juga beberapa protein tanpa lemak untuk membantu anda kenyang seperti dada ayam, telur, kekacang, salmon atau tuna. 

Jangan abaikan pengambilan buah-buahan dan sayuran. Pilihlah yang terdiri daripada pelbagai warna seperti tomato, lobak merah, timun, epal, betik, tembikai dan anggur. Minumlah air kosong atau jus buahan-buahan untuk pilihan yang lebih sihat.

image is not available
Gambar Unsplash

Makan malam bukan lewat malam

Cara yang betul adalah, anda perlu makan malam kira-kira empat hingga lima jam selepas makan tengah hari. Jadi, jika anda makan tengahari pada jam 2 petang, waktu makan malam ialah di antara jam 6 petang ke 7 malam.

Ini adalah jam-jam terakhir kadar metabolisme badan anda meningkat sebelum ia mula perlahan.

Perlu diingatkan semakin lama anda memberi ruang waktu kepada tubuh badan di antara waktu makan terakhir dan waktu tidur, lebih banyak manfaat kesihatan yang akan diperolehi.

Ini kerana pada sebelah malam, badan anda melakukan banyak tugas ‘penyelenggaraan’ seperti berehat dan memperbaharui sel-sel. Jika masih sibuk menghadam, tugas-tugas lain tidak dapat diuruskan. - Getaran, 20 Jun 2022

Gambar: freepik / unsplash