Walau Konsert Terpaksa Ditangguhkan, Hael Husaini Hadiahkan Peminat Dengan ‘Sayang Do You Love Me?’

Music
2 Dec 2022 • 8:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hael Husaini - Gambar ihsan Rocketfuel Entertainment

Biarpun terpaksa menangguhkan konsert sulungnya yang dijadualkan nerlangsung pada Disember ini, namun penyanyi serta komposer terkenal, Hael Husaini tidak mahu berdiam diri.

Malah, dia hadir dengan single pop moden terbaharu yang santai dan ‘chill’ berjudul ‘Sayang Do You Love Me?’ (SDYLM?) hasil nukilan dirinya sendiri dengan komposer popular, Ezra Kong untuk dihadiahkan kepada peminat. 

image is not available

Menurut Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Ramzi, 34, single ini menceritakan tentang kisah percintaan sepasang kekasih yang ada pahit manis dan gurau senda antara mereka dengan mesej yang ringkas untuk pendengar berhibur dan bergembira. 

“Walaupun sibuk, saya masih mahu berkarya dan 'SDYLM?' adalah buktinya. Saya dan Ezra inginkan suatu karya yang ringan dan santai untuk pendengar persis single ‘Kelentang-Kelentong’ yang diterima hebat sebelum ini.

“Formula yang digunakan tidak banyak beza iaitu mesra media sosial, di mana kami bayangkan lagu ini digunakan sebagai bunyi latar bagi video-video yang dimuat naik di media sosial.

image is not available

“Lagu ini masih mengekalkan genre pop cuma pada kali ini saya memilih untuk santai-santai dan ‘chill’.

“Saya mula merakamkan lagu ini sejurus single ‘Sama Seperti Dulu’ dilancarkan, setelah berbincang dengan Ezra.

“Setakat ini, tiada perancangan untuk menghasilkan video muzik (MV) lagu ini dan saya bersama pihak Rocketfuel akan melancarkan lirik video rasminya sahaja terlebih dahulu.

“Kalau sambutan menggalakkan mungkin kami akan memikirkan tentang penghasilan MV,” kongsinya. 

image is not available

Setiap kali Hael mengeluarkan single baharu, pasti akan mendapat hangat dari peminatnya. Untuk lagu 'SDYLM?' ini, Hael turut mengharapkan sambutan yang sama dari para peminatnya.

“Harapan saya tentulah inginkan kejayaan yang sama seperti lagu-lagu saya sebelum ini, maklumlah setiap lagu yang dihasilkan memerlukan usaha dan pelaburan yang tinggi.

“Jadi saya berharap agar pendengar dan penyokong muzik saya dapat memberi sokongan kepada lagu ini,” ujarnya.

Lagu 'SDYLM?' boleh dimuat turun di iTunes mulai 2 Disember 2022 dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music. 

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network. – Getaran, 2 Disember 2022