
SEBERANG PERAI – Walaupun kelihatan sihat dan tidak menunjukkan sebarang gejala, seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang menghidap masalah jantung kini berdepan risiko pengsan secara tiba-tiba sehingga boleh mengancam nyawanya.
Nur Nellysa Arshiyaa Mohd. Firdaus Azri kini memerlukan dana RM115,000 bagi menjalani pembedahan jantung terbuka serta menggantikan alat perentak jantung (pacemaker) selepas saluran darah pada jantungnya kembali sempit.
Bapanya, Mohd. Firdaus Azri Zaharin, 29, berkata, anaknya menghidap penyakit jantung kongenital sejak lahir dan pernah menjalani pembedahan ketika berusia sebulan.
“Ketika itu, pembedahan dilakukan bagi membaiki beberapa masalah termasuk lubang pada jantung, penyempitan saluran darah serta membaiki Patent Ductus Arteriosus (PDA), selain dipasang alat perentak jantung.
“Namun, selepas lima tahun, pemeriksaan susulan pada 5 Ogos lalu mendapati saluran darah di jantungnya kembali sempit. Doktor memaklumkan dia perlu menjalani pembedahan jantung terbuka dan pada masa sama menggantikan alat perentak jantung,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, apa yang paling membimbangkan adalah keadaan Nellysa yang kelihatan sihat tanpa menunjukkan simptom ketara, namun berisiko mengalami pengsan secara tiba-tiba.
“Dia langsung tidak menunjukkan sebarang gejala, tetapi boleh tiba-tiba pengsan. Doktor memberi amaran rawatan tidak boleh ditangguhkan lagi kerana keadaan itu boleh mengancam nyawanya. Kami hanya berharap dia dapat menjalani pembedahan dengan lancar dan membesar dengan selamat,” katanya.
Beritahunya, jika pembedahan tidak dilakukan, penyempitan saluran darah pada jantung itu dikhuatiri menyebabkan Nellysa mengalami kesukaran bernafas dan keadaan kesihatannya menjadi semakin serius.
Tambahnya, dia bersama isterinya, Siti Najiha Norazman, 25, hanya mampu menyediakan RM10,000 daripada kos keseluruhan pembedahan sebanyak RM115,000, menyebabkan mereka terpaksa memohon bantuan orang ramai.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya tampil membantu keluarga berkenaan mengumpul dana RM115,000 bagi membolehkan Nellysa menjalani pembedahan secepat mungkin.
“Bapanya bekerja di bahagian gudang di sebuah kilang, manakala ibunya merupakan suri rumah yang turut menjual nugget ayam dari rumah secara sambilan.
“Pasangan ini juga mempunyai dua lagi anak berusia masing-masing satu dan dua tahun. Ibu bapa Nellysa hanya berharap anak mereka dapat menerima rawatan segera dan tidak menunggu sehingga dia tiba-tiba pengsan atau keadaannya bertambah buruk,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare, 320142881 atau hubungi ditalian
04-539 9212. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Walau nampak sihat, Nellysa berisiko tiba-tiba pengsan’ appeared first on Kosmo Online.
